Pembukaan semula Taman Botani Perak di Taiping kembali menjadi tumpuan pengunjung dalam kalangan mereka yang sukakan aktiviti riadah berkonsepkan alam semula jadi atau taman bunga-bungaan.
Taman tersebut yang pada awalnya dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 16 Ogos tahun lalu terpaksa dihentikan operasinya selama kira-kira empat bulan berikutan penularan Covid-19, dan dibuka semula pada 4 Ogos 2020 lalu, dengan amalan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Bilangan pengunjung yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa pula ialah seramai 500 orang maksimum. Malah pengunjung juga dikehendaki melalui saringan suhu badan serta mengisi maklumat diri sebelum masuk ke Taman Botani Taiping. Bagi memastikan pengunjung yakin dan selamat, maka kerja-kerja penyahkuman pada permukaan yang kerap disentuh akan dilakukan setiap hari oleh kakitangan TBP. Selain itu, cecair sanitasi (hand sanitizer) turut disediakan di kaunter masuk bagi kegunaan pengunjung.
Pembangunan taman tersebut dilaksanakan menerusi Program Penyelidikan dan Pemuliharaan Landskap JLN dengan persetujuan Majlis Perbandaran Taiping bagi menjadikan Taman Tasik Taiping sebagai Taman Botani Taiping dengan restu daripada Kerajaan Negeri Perak. Taman Botani Taiping adalah mewakili Zon Semenanjung Malaysia. Taman Botani Taiping berkonsepkan muzium hidup tumbuhan-tumbuhan yang ditafsirkan sebagai satu pusat mengumpul dan mempamerkan pelbagai koleksi tumbuhan yang mempunyai nilai estetik dan saintifik.
Kategori laman
Pada masa ini kemasukan pengunjung ke Taman Botani Taiping masih percuma. Walau bagaimana pun, MPT sedang mempertimbangkan caj konservasi wajib bermula 1 Januari 2021 tahun depan pada harga RM2 kepada setiap pengunjung, kecuali kanak-kanak di bawah 12 tahun. Caj konservasi ini adalah salah satu usaha membantu ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna yang terdapat di TBP terutamanya spesies-spesies tumbuhan terancam yang tersenarai dalam buku Malaysia Plant Red list Peninsular Malaysia 2012 seperti pokok paku aji atau bogak yang ditanam di Laman Endemik Zon Utara dan Laman Tema.
INFO
image via google | sumber: utusan