Langkawi, pulau jolokan bebas cukai atau syurga membeli-belah memang cukup puas dan begitu berbaloi untuk dimasukkan dalam jadual percutian domestik anda.
Tidak puas dan cukup waktu jika anda bercuti di pulau lagenda ini hanya untuk semalaman. Cuba peruntukkan tempoh percutiaan di sini sekurang-kurangnya untuk 3 hari 2 malam. Kenapa? Kerana terdapat banyak lokasi menarik untuk singgah.
Nah! Ini cadangan destinasi kena terjah dan aktiviti yang boleh anda lakukan ketika bercuti di Langkawi.
Kota Mahsuri
Bagaikan tidak lengkap apabila berada di Pulau Langkawi sekiranya tidak menjejaki sejarah silamnya di Kota Mahsuri. Rasanya semua mengetahui sejarah lampau Langkawi yang dikatakan disumpah oleh Mahsuri selama tujuh keturunan. Jangan lepaskan peluang menonton teater Mahsuri, menziarahi makam dan merakamkan gambar kenangan di binaan replika rumah serta mengenali sejarah jelitawan yang mati dibunuh akibat fitnah itu di Kompleks Kota Mahsuri.
Di sini terdapat sebuah perigi digelar Telaga Mahsuri dikatakan lokasi Mahsuri untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Telaga ini dikatakan tidak pernah kering sejak dari dahulu walaupun ketika musim kemarau. Khasiat dari air telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan masalah kulit dan memberi kesan awet muda.
Langkawi Skycab
Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang adalah destinasi wajib cuba di Langkawi. Dari sini anda berpeluang melihat panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian yang berusia 500 juta tahun.
Jika cuaca baik, hampir keseluruhan Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari aras tinggi. Di sini terletak sebuah jambatan gantung berketinggian 100 meter yang boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau. Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium 3D dan singgah ke premis Sri Kandi.
NAAM Paradise 101
NAAM Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Ada juga yang menggelar lokasi ini sebagai Bali Langkawi. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari.
Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, perkahwinan atau majlis berskala besar.
Jet Ski Island Hoping
Island hopping adalah aktiviti wajib dilakukan di Langkawi. Rutin bagi aktiviti ini adalah menaiki bot laju dan berhenti dari pulau ke pulau. Namun, jika ingin kelainan dalam percutian anda, pilih untuk lakukan island hopping menggunakan pengangkutan air jet ski yang disediakan banyak operator sukan air di Pantai Chenang.
Paling best island hopping yang berdurasi 4 jam tidak terasa dek keseronokkan mengendalikan jet ski ini ketika membelah lautan. Bukan itu sahaja, malah dengan menggunakan jet ski anda lebih mudah untuk di bawa ke lokasi lebih menarik yang susah diakses jika menggunakan bot.
Sunset Cruise
Langkawi Crocodile Adventure Land
Taman buaya di Langkawi ini sangat menarik untuk dikunjungi. Taman buaya ini begitu teratur dan kolam-kolam yang disediakan untuk setiap reptilia ini sangat bersih. Anda boleh melihat haiwan-haiwan di sini terjaga dengan begitu baik dan bebas bergerak dengan aktif.
Terdapat sebuah pertunjukan buaya ‘giant’ yang penuh mendebarkan pada setiap hari mengikut masa tertentu. Tarikan paling menarik bagi penulis di sini pengunjung berpeluang untuk memberi anak-anak buaya makan seakan aktiviti memancing. Walaupun hanya anak buaya, tetapi rentapan setiap ekor daripada haiwan ini cukup kuat ketika sesi ini berlangsung.
Pengujung juga diberi kesempatan untuk bergambar dengan buaya sebenar. Uniknya, mulut buaya di sini langsung tidak diikat sebagaimana dilakukan di taman-taman buaya lain di seluruh dunia. Bagi pengurusan taman buaya ini, mengikat mulut buaya melanggar hak asasi haiwan tersebut. Terdapat juga pelbagai produk yang dihasilkan daripada kulit buaya yang dijual di sini.
Kubang Badak Mangrove
Lain daripada yang lain. Bukan sekadar melihat tumbuhan paya bakau semata-mata, tetapi anda di bawa untuk mengimbas sejarah peradaban lampau dan mengenali geografi negara anda dengan lebih lagi seperti Pulau Kubang Badak, Bukit Menora, Sungai Siam, Gua Pinang, Pulau Jemuruk dan Tanjung Buta.
Anda akan di bawa untuk melihat lokasi pra sejarah di Bukit Menora. Lokasi ini merupakan penempatan awal penduduk Siam pada abad ke-18 dan dikatakan sangat masyhur dan terkenal. Anda masih berpeluang melihat tapak kebuk arang lama yang dijumpai di Kampung Siam berusia lebih 100 tahun.
Dalam trip ini juga, anda akan dibawa ke Gua Pinang iaitu tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak sekitar 6000 tahun lalu. Di sini terdapat banyak longgokan cengkerang kerang dan tiram pada dinding gua.
Kompleks Kraftangan
Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi membeli-belah utama pelancong yang mecari produk kraf keluaran tempatan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan jualan hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain.
Kompleks berkenaan juga mampu membuatkan pengunjung teruja dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sampingan. Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri pelbagai tutorial kraf seperti mencanting batik, menganyam tikar, membuat kuih tradisional dan banyak lagi.