Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan kekayaan budaya dan tradisi.
Tidak kurang istimewanya seperti negeri lain, negeri Pantai Timur ini juga terkenal dengan makanan unik tradisi dan lokasi best untuk menjamu selera. Boleh dikatakan makanan di Kelantan kebanyakkan sedap dan menarik untuk dicuba.
Jika anda sampai Kelantan, jangan lupa untuk mencuba makanan ini. Selain unik dan sedap, makanan ini cukup susah untuk dijumpai di kawasan lain luar daripada negeri Kelantan. Kalau ada pun, rasanya tidak se'ori' yang ada di negeri Cik Siti Wan Kembang! Ada banyak sebenarnya makanan unik Kelantan, kalau nak rasa kesemuanya tidak cukup setakat sehari dua anda bercuti ke negeri ini.
- Nasi Kerabu
Paling terkenal tentunya nasi kerabu, nasi berwarna biru menggunakan daun bunga telang, dimakan bersama ulam-ulaman dan tumis budu serta daging atau ayam bakar sebagai pelengkap hidangan. Sehingga kini, kerana popularnya nasi kerabu, ia menjadi hidangan bukan sahaja di gerai-gerai tepi jalan tetapi juga diangkat darjatnya dengan dijual di kedai-kedai hipster serta turut sama menjadi menu di hotel-hotel terkenal.
- Nasi Tumpang
Nasi Tumpang antara hidangan yang terkenal dan berasal dari Kelantan. Ia dibungkus dengan daun pisang berbentuk kon. Nasi yang dibungkus mempunyai lapisan berbeza di mana lauknya berada di lapisan lain. Bagi masyarakat Kelantan, hidangan ini digelar Nasi Tupe. Nasi ini dibungkus dengan kemas dan padat di mana isinya terdiri dari telur, serunding, udang atau ikan, sos sambal manis dan timun. Makan ini dahulunya merupakan makanan asas untuk petani di Negeri Kelantan untuk dibawa ke tempat kerja.
- Nasi Manis
Nasi manis ini turut dikenali sebagai wajik. Ia antara salah satu makanan tradisional Negeri Kelantan. Nasi manis diperbuat dari sejenis pulut yang rasanya agak manis dan kebiasannya nasi manis ini di makan begitu sahaja tanpa lauk. Ia mudah didapati di Kelantan terutamanya di warung–warung yang menjual kuih muih pada waktu pagi.
- Mi Segera Ketam Nipah
Yang biasa kita dengar atau jumpa, mi atau bihun sup yang disediakan bersama udang, daging atau ayam. Yang luar biasa, mi segera dimasak bersama ketam. Di Kelantan, terdapat beberapa kedai yang menjual hidangan bersama ketam, kebanyakannya mengunakan ketam laut. Mereka memanggil sajian ini dengan panggilan 'Maggi Ketam'. Agak rare jika ada kedai yang menjual hidangan ini menggunakan ketam Nipah, yang hidup di paya bakau. Jika anda jumpa sila cuba! Berbezanya ketam nipah dan ketam laut biasa, ketam nipah dimasak semasa ia masih hidup, direbus untuk diambil airnya dijadikan sup sebelum dihidang bersama pilihan sama ada maggi, mi kuning atau bihun. Hidangan ini jadi jarang ditemui kerana sukarnya mendapat bekalan ketam nipah.
- Kuih Akok
Kuih akok merupakan kuih tradisi masyarakat Kelantan. Malah, ia juga sangat popular dan sering mendapat permintaan ramai. Dahulu, kuih akok ini dibakar diatas dapur yang menggunakan sabut, disebabkan itu rasanya lebih enak sekali. Di Kelantan sendiri kalau anda pandai mencari kedai ada yang masih menjual akok dibakar secara tradisi.
- Etok Salai
Jika kena pada musimnya, 'Etok' banyak dijual secara meluas di bahu jalan di beberapa daerah di Kelantan. Etok, tidak banyak bezanya dengan kepah atau kerang, cuma saiznya lebih kecil sedikit. Wajib cuba etok jika ke Kelantan kerana kini ia diubah suai pada cara penyediaannya, ditambah perisa seperti masam manis, tom yam, dan BBQ. Bagi orang Kelantan mereka selalunya mencadangkan etok hanya dibakar atau disalai begitu sahaja. Keenakan serta kemanisan etak ini boleh dikagumi.
- Air Asam Perut & Lidah
Penyediaannya agak rumit menjadikannya hidangan yang uni kerana tidak banyak kedai makan yang menjual hidangan ini. Perut dan lidah lembu perlu dibersihkan dengan teliti, jika tidak akan berbau hamis. Menu ini menggunakan sejumlah besar limau nipis dan bawang. Ia wajib dicari jika sampai ke Kelantan dan rasanya dijamin tidak mengecewakan
- Ikan Bekok
Ia bukan ikan masin tetapi ikan yang direndam dalam air bersama garam dan dijemur sebelum digoreng. Ikan ini dijemur sehari sahaja, jika lebih sehari, ia akan menjadi ikan masin. Itu sebabnya dinamakan ikan bekok (ikan yang dibengkak dalam air garam. Hanya beberapa restoran dan kedai makan di Kelantan yang menyediakan menu ikan bekok. Tidak semua ikan sesuai dijadikan ikan bekok. "Paling sedap tentunya ikan gelama, kerana isinya banyak. Tetapi ada juga yang sediakan ikan bekok menggunakan cencaru. Ikan bekok ini sedap digoreng dan dimakan panas-panas bersama nasi yang masih berwap.
- Tahi Itik
Tahi Itik bunyinya agak pelik. Namun, ia merupakan sejenis kuih yang diperbuat menggunakan telur dan disira panas dalam air gula. Ia dibentuk bertempek-tempek seperti tahi itik.
- Kerutuk Serati
Kerutuk adalah menu yang agak popular dalam kalangan rakyat Kelantan. Jika melawat negeri ini, anda akan temui pelbagai jenis kerutuk, sebagai contoh kerutuk daging atau ayam. Kerutuk ialah hidangan yang menggunakan rempah khas seperti kari tetapi lebih gelap warnanya disebabkan masa lebih lama diambil untuk menumis selain diletakkan kerisik dan gula merah di dalamnya.
- Ayam Percik Kelantan
Hidangan ayam percik kelihatan sama sahaja. Namun, di negeri Kelantan ini, hidangan ayam percik ternyata agak berbeza. Apa yang membezakan hidangan ini adalah kuah atau sos yang digunakan untuk menyaluti ayam tersebut. Tidak seperti ayam percik yang terdapat di pasaran, ayam percik Kelantan ini mempunyai sos percik berwarna putih serta lebih pekat dan likat.
Jom cuti-cuti Malaysia dan makan-makan di Kelantan!
Image via google | astroawani | rasa| saji
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI