Tak Perlu Keluar Duit Beratus Ringgit Untuk Ke Hotel Mewah, Cukup Ke Rosa Malacca

Share

Berkonsepkan seni bina Eropah, Hotel Rosa Malacca yang baharu beroperasi Februari lalu antara destinasi yang perlu ada dalam senarai penginapan percutian anda. Terletak di tengah-tengah bandar raya Melaka, hotel ini memberi satu tarikan istimewa kepada pengunjung yang baharu pertama kali mendafar masuk di sini.

Dekorasi dinding yang menggunakan batu-bata merah menyerlahkan lagi keunikan Hotel Rosa Malacca selain pencahayaan lampu yang memberi kesan romantik tatkala melangkah masuk ke ruang utama. Hiasan moden dan kontemporari ala Inggeris membuatkan pengunjung lebih selesa untuk beristirehat dan menghabiskan masa cuti bersama insan tersayang.

Bukan itu sahaja, Hotel Rosa Malacca ini juga memudahkan anda untuk ke mana-mana lokasi tumpuan ramai kerana semua kemudahan disediakan walaupun tidak datang dengan kenderaan persendirian. Kelainan yang boleh di rasai oleh pengunjung yang menginap di sini adalah pengalaman menaiki beca. Perkhidmatan ini ada disediakan bagi yang ingin merasai suasana di sekitar bandar raya Melaka sama ada waktu siang atau malam.

Terletak di Jalan Parameswara, kira-kira satu kilometer dari A’ Famosa dan Mahkota Parade, Hotel Rosa Malacca ini antara lokasi yang strategik. Walaupun baharu sahaja beroperasi, hotel ini sangat menarik kerana hiasan dalamannya yang menampakkan ciri-ciri Eropah.

Dari luar bangunan hotel ini, sudah menampakkan ciri-ciri unik dan klasik  hotel yang berketinggian tujuh tingkat ini. Gabungan ini bukan sahaja daripada rekaan dan hiasan dalaman semata-mata tetapi ia turut merangkumi aspek penggunaan perabot untuk setiap bilik serta ruang-ruang tertentu di dalam hotel.

Bilik selesa

Dari aspek kapasiti bilik, sebanyak 60 bilik disediakan untuk empat kategori. Antaranya 37 Deluxe King, 8 Deluxe Twins, 10 Premier King dan 5 Family Suites.

Setiap bilik mempunyai reka bentuk yang berbeza untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden. Untuk menjamin keselesaan, pengunjung boleh memilih kategori bilik berdasarkan kapasiti ahli keluarga. Harga bilik pula bermula dari RM250 hingga RM450 untuk satu malam bergantung kepada jenis bilik.

Bagi bilik Deluxe King, katil bersaiz king dengan ruang yang luas dan sesuai untuk individu yang ingin menikmati masa bercuti tanpa sebarang gangguan. Manakala untuk Deluxe Twins disediakan dua katil super single. Bilik Premier King juga menawarkan keselesaan kerana katilnya ditempah khas selain kemudahan mewah yang tersedia. Sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu. Malah ia turut mempunyai ruang bilik air besar dan sofa yang selesa.

Malah untuk bilik Family Suite – sesuai untuk yang datang dalam bilangan yang ramai kerana tersedia kemudahan seperti sofa, bar mini, bilik mandi bersaiz besar serta kemudahan asas yang lain. Selain bilik yang selesa, kemudahan lain turut disediakan seperti televisyen dengan 20 saluran percuma, penghawa dingin, Wi-Fi, pengering rambut, perkhidmatan dobi dan cucian kering, akses percuma ke gimnasium dan pelbagai lagi.

Mesra pelanggan

Menariknya juga di hotel ini, kafe yang berkonsepkan hipster dengan ruang yang terbuka dan tertutup memudahkan pengunjung untuk memilihnya. Bagi yang sukakan ruang terbuka boleh memilih Bica & Co Courtyard.

Kafe terbuka dengan ciri Eropah ini diperincikan dengan meja marmar, kerusi yang lebih selesa yang mampu memuatkan 40 orang dalam satu masa. Ruang ini lebih sesuai untuk acara perjumpaan sambil menikmati pelbagai menu barat.

Di Bica & co Cafe pula, ruang ini lebih eksklusif bagi yang ingin mengadakan mesyuarat sambil menikmati hidangan makan tengah hari atau malam. Dengan suasana tenang serta rekaannya yang kontemporari, ia jelas memberi satu pengalaman baharu bagi pengunjung yang datang bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Ruang kafe ini boleh memuatkan 60 orang dalam satu-satu masa.

Di samping itu, bagi pasangan yang ingin mengambil gambar pra perkahwinan boleh juga untuk merakamkan detik-detik indah di sini kerana ruangnya yang lebih fleksibel.

Oleh
putri.adila