Taiping yang juga dikenali sebagai bandar warisan dan bersejarah, pernah menjadi ibu negeri Perak sebelum bandar raya Ipoh. Taiping bermaksud ‘aman’ dalam bahasa Hakka dan dulunya dikenali sebagai Klian Pauh.
Disebabkan kebanyakan sejarah bermula di sini, Taiping menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri untuk mengunjunginya. Taiping yang juga terkenal sebagai kawasan paling lembap berikutan menerima hujan hampir setiap hari berbanding kawasan-kawasan lain, terus mengekalkan kedudukannya sebagai bandar warisan di Perak.
Terbaru, Taiping dipilih menjadi bandar pertama di negara ini untuk pelaksanaan fasa pertama projek rintis ‘Age-Friendly City @Taiping’ atau Taiping Bandar Mesra Usia. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata projek rintis itu melibatkan proses perancangan pembangunan yang dijangka mengambil masa selama dua tahun.
Apa Yang Best Di Taiping?
Landasan kereta api antara Taiping dan Pelabuhan Kuala Sepetang yang dibina pada tahun 1885 adalah yang pertama di negara ini. Ketika itu, tujuan British membina landasan tersebut adalah untuk memudahkan mereka mengangkut bijih timah ke Pulau Pinang.
Taman Tasik Taiping yang merupakan bekas lombong pula dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka. Berada di taman ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan landskapnya yang cantik, dihiasi pokok-pokok berusia ratusan tahun selain terdapat 10 kolam besar lengkap dengan kemudahan tandas, laluan berjoging dan pondok berehat.
Bukit Peranginan Maxwel atau Bukit Larut merupakan destinasi menarik di Taiping yang menyamankan. Untuk sampai ke puncak yang ketinggiannya 1,250 meter dari paras laut, pengunjung perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan atau mendaki menggunakan pemandu arah yang bertauliah. Bukit Larut diterokai pembantu Residen British di Perak iaitu William George Maxwell untuk dijadikan lokasi percutian para pembesar Inggeris. Sesuai dengan status sebagai destinasi percutian tanah tinggi tertua, kawasan bukit tersebut menjadi tumpuan kerana iklimnya yang nyaman dan sejuk kerana menerima taburan hujan tertinggi sepanjang tahun di Malaysia. Setelah diterokai oleh George Maxwell lebih seratus tahun yang lalu Bukit Larut terus menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan suasana damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.
Kota Ngah Ibrahim yang terletak di Matang telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Beliau adalah anak kepada Long Jaafar yang merupakan orang Melayu pertama membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840. Selain itu, terdapat New Club (1880), Lapangan Terbang Tekah (1870) dan Rumah Residen Inggeris (1870), yang semuanya tercatat sebagai yang paling awal dibuka.
Bagi yang meminati sejarah, Muzium Perak merupakan muzium tertua negara yang masih boleh dikunjungi. Diasaskan oleh Residen British Perak, Sir Hugh Low, di sini tersimpan lebih 10,000 bahan pameran pelbagai spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu selain lebih 5,000 bahan rujukan sejarah.
Selain itu, balai bomba pertama yang dibuka pada tahun 1886 dan kini sudah tidak beroperasi, masih boleh ditatap oleh generasi hari ini apabila bangunannya diubah menjadi menara jam besar dan pusat menjual cenderamata.
Pengunjung juga berpeluang melawat Zoo Taiping dan Night Safari yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah. Zoo Taiping satu-satunya zoo di utara Semenanjung yang cukup terkenal dengan program Night Safari Taiping. Dengan keindahan persekitaran alam semulajadinya yang dilengkapi aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora, tidak hairanlah zoo itu cukup popular kepada pengunjung Zoo ini menempatkan 1,300 ekor haiwan daripada lebih 200 spesies burung, reptilia dan mamalia yang dipamerkan dalam suasana semulajadi. Night Safari Taiping adalah satu produk pelancongan unik yang mempamerkan haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu khas seperti cahaya bulan. Aksi-aksi haiwan seperti kongkang, chimpanzi, lemur perang, lemur ekor gelang, siamang dan ungka tangan putih sudah pasti mencuit hati setiap pengunjung dengan aksi nakal mereka memanjat pokok dan pagar di dalam sangkar.