Rantau Panjang tidak pernah sunyi sunyi dengan kehadiran pengunjung yang datang dari pelbagai negeri dan daerah malah dari negara Thailand untuk berbelanja. Selalunya tiba sahaja bulan Ramadan, kunjungan pengunjung berganda daripada biasa dan sangat meriah.
Tetapi, ketika ini ‘syurga' membeli-belah pekan Rantau Panjang begitu sepi dan lengang! Pekan bebas cukai itu tidak seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang persiapan menyambut Aidilfitri.
Walaupun kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, aktiviti membeli-belah di situ seakan tidak berjalan. Jika adapun hanya masyarakat tempatan yang datang membeli barang untuk persiapan Aidilfitri sedangkan kebanyakan peniaga di sini berniaga pakaian dan kain.
Pada tahun-tahun sebelumnya, minggu-minggu terakhir menjelang Hari Raya menyaksikan pekan Rantau Panjang meriah dengan pelanggan yang terdiri daripada penduduk setempat dan juga perantau yang pulang ke negeri ini selain dari negara Thailand. Raya tahun ini perantau tidak dibenarkan pulang begitu juga pintu sempadan Malaysia-Thailand yang masih ditutup.
Situasi ini memberikan kesan kepada lebih 1,000 peniaga di sini malah ada yang terpaksa tutup kedai. Untuk berniaga dalam talian sukar, kerana rata-rata peniaga di sini sudah berusia dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan keadah perniagaan itu.
Sumber: Bernama