
Rantau Panjang tidak pernah sunyi sunyi dengan kehadiran pengunjung yang datang dari pelbagai negeri dan daerah malah dari negara Thailand untuk berbelanja. Selalunya tiba sahaja bulan Ramadan, kunjungan pengunjung berganda daripada biasa dan sangat meriah.
Tetapi, ketika ini ‘syurga' membeli-belah pekan Rantau Panjang begitu sepi dan lengang! Pekan bebas cukai itu tidak seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang persiapan menyambut Aidilfitri.
Walaupun kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, aktiviti membeli-belah di situ seakan tidak berjalan. Jika adapun hanya masyarakat tempatan yang datang membeli barang untuk persiapan Aidilfitri sedangkan kebanyakan peniaga di sini berniaga pakaian dan kain.
Pada tahun-tahun sebelumnya, minggu-minggu terakhir menjelang Hari Raya menyaksikan pekan Rantau Panjang meriah dengan pelanggan yang terdiri daripada penduduk setempat dan juga perantau yang pulang ke negeri ini selain dari negara Thailand. Raya tahun ini perantau tidak dibenarkan pulang begitu juga pintu sempadan Malaysia-Thailand yang masih ditutup.
Situasi ini memberikan kesan kepada lebih 1,000 peniaga di sini malah ada yang terpaksa tutup kedai. Untuk berniaga dalam talian sukar, kerana rata-rata peniaga di sini sudah berusia dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan keadah perniagaan itu.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Arachnocampa Luminosa, Ulat Kalimantang Tarikan Pelancongan Popular Di Gua Waitomo, New Zealand

Waitomo yang membawa maksud ‘aliran yang mengalir ke dalam sebuah bukaan di dalam tanah’ merupakan salah satu tarikan utama New Zealand. Terletak di North Island, New Zealand, perjalanan ke Waitomo mengambil masa tiga jam daripada Auckland dan hanya satu jam perjalanan menaiki kenderaan daripada Rotorua dan Hamilton.
Apa yang menariknya Gua Waitomo ini? Tidak seperti gua-gua lain, Gua Waitomo menjanjikan pengalaman atau harus penulis katakan keajaiban ciptaan Tuhan. Formasi gua yang terbentuk secara semulajadi ini berusia sekitar 30 juta tahun dengan struktur batu kapur unik.
Apa bezanya dengan gua-gua yang terdapat di tempat lain? Satu perkara yang harus diketahui adalah di sini terletaknya satu spesies unik hidupan gua ‘glowworm’ atau nama saintifiknya Arachnocampa luminosa, ulat kalimantang atau juga dikenali sebagai kelemayar yang amat jarang ditemui dan unik yang terdapat hanya di New Zealand.
Ulat kelemayar ini menjana satu bentuk cahaya kalimantang. Ulat ini akan membina sesawang seperti labah-labah untuk memerangkap serangga. Serangga ini menghabiskan jangka hayatnya sebagai larva dan cahaya yang terhasil adalah tindak balas biologi bahan kimia yang terletak pada bahagian ekor dengan oksigen di udara.
Cahaya ini akan menarik serangga kecil yang menghuni gua Waitomo untuk dijadikan makanan. Sistem ekologi gua Waitomo dikatakan sempurna sebagai habitat ulat kelemayar ini.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman menakjubkan ini dengan memilih beberapa pilihan pengembaraan, samada menaiki bot melalui aliran air di dalam gua, menjelajah dengan berjalan kaki melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran atau bagi yang gemarkan pengalaman extrim, pengunjung boleh mencuba ‘Black Water Rafting’ dan bersiap-siap untuk menyusuri aliran air menggunakan tiub pelampung, bersedia untuk basah di dalam gua yang gelap.
Penjelajahan Unik
Bot yang boleh memuatkan sekitar 12 orang pada satusatu masa ini akan dibawa menjelajah Gua Waitomo menyusuri laluan air yang gelap gelita. Jangan risau kerana pengemudi bot-bot ini adalah mereka yang profesional dan arif dengan laluan gua tersebut.
Bagi mereka yang ingin menjelajah Gua Waitomo dengan berjalan kaki pula, pengunjung akan dibawa masuk melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan struktur besar gua-gua di Waitomo.
Di sini pengunjung akan dibawa oleh seorang pemandu arah dan penerangan terperinci dan pengalaman melihat sendiri ulat kelemayar ini secara dekat pasti memberikan sebuah pengalaman baru dan mengujakan.
Bagi mereka yang berjiwa lasak, pastinya ‘Black Water Rafting’ menjadi pilihan utama. Pengunjung akan dibekalkan pakaian kalis air dan tiub pelampung. Penjelajahan unik Gua Waitomo ini bakal membawa pengunjung menyusuri anak-anak sungai yang terbentuk di dalam gua secara berkumpulan sambil ditemani seorang pemandu arah profesional yang informatif, memberi penerangan dan membawa pengunjung melihat habitat ulat ini dari permukaan air.
Semestinya Gua Waitomo menjanjikan sesuatu yang amat berlainan daripada percutian biasa anda. Sesungguhnya alam ini terlalu luas untuk diterokai dan jika anda fikir yang anda sudah melihat semuanya, fikirkan semula.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dah Ramai Terkorban! Jangan ‘Degil’ Berkelah, Mandi-Manda Di Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu

Ramai yang mengambil peluang ketika ini untuk bersantai dan berkelah bersama keluar di banyak lokasi tumpuan ramai setelah dibenarkan berbuat demikian.
Keseronokkan jelas terpancar di wajah orang ramai, mana tidaknya sudah hampir tiga bulan tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti sedemikian. Namun begitu, anda dinasihatkan untuk bercuti didestinasi yang dibenarkan dan tidak meragut keselamatan nyawa anda.
Jika anda bercadang ke kawasan air terjun di Kuala Berang, Terengganu ini ada arahan khas daripada pihak berkuasa! Orang ramai diingatkan jangan berkelah atau bermandi-manda di kawasan Air Terjun Belukar Bukit kerana lokasi berkenaan memang tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah.
Kawasan rekreasi berkenaan sebenarnya sudah hampir dua tahun ditutup kepada orang awam, bagaimanapun pihaknya menerima aduan ada pengunjung yang masih ‘mencuri’ masuk ke kawasan tersebut. Kedegilan orang ramai mematuhi arahan penutupan ini terutamanya orang luar dari negeri atau kawasan ini menjadi punca berlaku kejadian malang sehingga mengorbankan nyawa.
Lokasi Air Terjun Belukar Bukit memang tidak dibenarkan dikunjungi orang ramai dan sebelum ini pihak berkuasa sudah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga, antaranya memasang kain rentang dan papan tanda di sekitar kawasan. Air terjun di sini dikatakan sangat berbahaya kerana air sungainya kelihatan seperti sangat cetek tetapi sebenarnya di bawah itu ada pusaran air. Lebih-lebih lagi ketika cuaca hujan.
Untuk rekod, kawasan air terjun ini sudah catat empat tragedi yang meragut lima nyawa untuk tahun 2019 sahaja. Malah untuk tahun ini sudah dua tragedi berlaku iaitu pada 16 Mac 2020 dan terbaharu kegembiraan 18 sekeluarga bermandi-manda di tempat perkelahan Air Terjun Belukar Bukit meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada 18 Jun 2020.
Foto: FB Amazing Terengganu | Sumber: sinar harian
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Macam Mana La Penduduk Norway Ni Hidup, 5 Bulan Tak Kena Matahari

Umum mengetahui kepentingan cahaya matahari kepada hidupan di muka bumi menikmatinya. Peranan cahaya matahari juga membuatkan dunia ini terang-benderang. Begitu juga manfaat sang suria terhadap kesihatan tubuh badan sangat penting. Cahaya matahari menjadi sumber vitamin D yang boleh meningkatkan keupayaan memori dan badan manusia.
Selain itu, cahaya mentari juga berupaya membangkitkan mood gembira kerana ia merangsang paras hormon serotonin dalam badan. Badan mungkin akan lesu dan kulit kusam jika tidak menerima pancaran cahaya matahari dengan baik. Bayangkan kehidupan anda jika perlu hidup dalam keadaan gelap dan tanpa bantuan cahaya matahari menyinari dengan sempurna? Pasti gelisah bukan? Penglihatan akan terhad, tanaman habis mati, ternakan jatuh sakit dan tahap kesihatan diri anda juga pasti menurun.
Namun itu antara kesulitan yang perlu dihadapi komuniti di Rjukan, sebuah bandar yang terletak 3 jam perjalanan di barat laut Oslo, Norway. Daerah ini dikenali sebagai salah satu bandar paling gelap di dunia hampir 5 bulan lamanya untuk setiap tahun.
Terdapat kira-kira 3,386 penduduk di Rjukan, sebuah bandar yang mendapat namanya dari Rjukan Fall iaitu air terjun sepanjang 104 meter yang menyediakan akses mudah untuk menjana sejumlah besar tenaga elektrik. Pekan ini tidak mempunyai cahaya matahari secara langsung dari bulan September hingga Mac kerana bentuk muka bumi yang dikelilingi pergunungan di sekitarnya.
Oleh itu, memberi penduduk di sini sekurang-kurangnya merasa sedikit bahang dan sinaran cahaya matahari, pengurusan bandar Rjukan telah memperuntukan 5 juta Krone Norway (NOK) atau RM 2.4 juta dengan memasang cermin gergasi pantulan di puncak gunung sebagai matahari palsu.
Cermin berkuasa solar yang diletakkan 450 meter dari puncak pergunungan paling tinggi menjejaki pergerakan matahari dan berfungsi memantulkan cahayanya ke bahagian bandar Rjukan. Disebabkan itu, cahaya matahari bersinar tepat ke arah dataran pekan ini yang menjadi tempat tumpuan ramai.
Salah seorang penduduk tempatan berkata bahawa warga Rjukan sudah terbiasa hidup tanpa cahaya matahari. Sehingga kewujudan matahari palsu ini ramai seperti tidak percaya. Mereka seperti berada di dunia baru. Bukan hanya tubuh badan dapat dihangatkan, tetapi minda juga seakan-akan terbuka dan segar.
Walau bagaimanapun idea ini turut menerima banyak kritikan daripada sesetengah komuniti masyarakat yang merasakan kewujudan matahari palsu sebagai gimik dan membazirkan wang kerana bukan keseluruhan bandar Rjukan mendapat manfaat tetapi sebilangan kecil cahaya matahari sahaja.
Namun kritikan itu hanya sekadar angin lalu, setelah sistem matahari palsu ini siap sepenuhnya, semua penduduk menyedari bahawa idea ini bukan sahaja memberikan cahaya matahari yang sangat diperlukan oleh penduduk tempatan tetapi juga membantu menaik taraf ekonomi bandar ini. Rjukan kini menjadi pilihan ramai pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk datang melawat kerana keunikan bandar mereka yang boleh dikatakan satu-satunya daerah mempunyai matahari palsu.
Idea cermin matahari palsu pertama telah diilhamkan oleh pengasas bandar Rjukan, Sam Eyde pada tahun 1913. Beliau memahami betapa pentingnya cahaya matahari dan cuba mencipta cermin matahari tetapi malangnya, usaha itu tidak berjaya. Menurut laman sesawang pelancongan Norway, “Idea ini dibangunkan semula pada tahun 2005 oleh Martin Andersen, seorang artis dan salah seorang penduduk bandar Rjukan. Pada tahun 2013, cermin matahari palsu telah berjaya dipasang secara rasmi iaitu 100 tahun selepas idea itu dicetuskan.”
Sumber: Bored Panda
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI