Satu per satu aktiviti kebiasaan masyarakat di Malaysia kembali dilonggarkan, setelah beberapa bulan dilarang untuk dilakukan disebabkan pandemik COVID-19.
Untuk orang awam yang berada di Terengganu, kerajaan negeri sudah membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah di semua masjid di Terengganu bermula 12 Jun 2020.
Kebenaran itu diberikan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid. Kebenaran ini juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berdasarkan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu
- Bilangan jemaah yang dibenarkan hadir adalah mengikut ruang keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara ahli jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid atau yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
- Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik.
- Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing dilarang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu lima waktu sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan sehingga 31 Ogos.
- Jemaah perlu mematuhi SOP iaitu mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, tidak bersentuhan dan bersalaman, tidak dibenarkan berkumpul selepas solat di dalam atau luar masjid, berwuduk terlebih dahulu di rumah dan membawa sejadah sendiri.
- Khutbah Jumaat pula hendaklah ditumpukan pada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit manakala solat sunat tidak dibenarkan di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid.
Mana-mana masjid atau surau yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua SOP dan syarat yang ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan ibadat solat berkenaan.
Sumber: Bernama