Sekurang-kurangnya 25 juta pekerjaan di peringkat antarabangsa termasuk 11.2 juta di rantau Asia Pasifik berisiko hilang kerja susulan kemerosotan permintaan mendadak bagi perjalanan udara akibat krisis penularan COVID-19.
Dalam keadaan sekatan perjalanan serius selama tiga bulan, penyelidikan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menunjukkan bahawa kira-kira 25 juta pekerjaan bidang penerbangan dan sektor berkaitannya di seluruh dunia kini berisiko selain Asia Pasifik manakala 5.6 juta pekerjaan di Eropah, Amerika Selatan (2.9 juta), masing-masing 2 juta di Amerika Utara dan Afrika serta 0.9 juta di Timur Tengah.
Malah, dalah senario sama, syarikat-syarikat penerbangan dijangka menyaksikan hasil penumpang bagi tahun penuh merosot sebanyak US$252 bilion (US$1 = RM4.34) (- 44 peratus) pada 2020 berbanding 2019.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa lagi, tempoh suku kedua 2020 adalah yang paling kritikal apabila permintaan merosot 70 peratus yang merupakan paras terburuknya selain kerugian tunai sebanyak US$61 bilion.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan merangkumi 82 peratus aliran udara global, turut menumpukan aspek pendekatan komprehensif bagi pemulihan industri itu selepas dibenarkan untuk berbuat demikian oleh pihak kerajaan serta pihak kesihatan umum.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata syarikat-syarikat penerbangan turut meminta kerajaan masing-masing menyalurkan bantuan kewangan segera untuk membolehkan perniagaan kekal bertahan dan mampu pulih selepas wabak COVID-19 dapat dibendung.
“Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan betapa meruncingnya impak COVID-19 terhadap industri penerbangan. Malah, kesukaran ekonomi itu akan dikongsi oleh 25 juta pekerja yang bergantung hidup dengan syarikat penerbangan. Ia sepatutnya menjadi perniagaan yang berdaya maju agar dapat kembali pulih selepas COVID-19 dapat dibendung. Bantuan terhadap syarikat penerbangan adalah sesuatu yang kritikal pada masa ini. Kita tidak pernah menjangkakan industri ini akan mengalami impak sedemikian besar. Kita juga tiada pengalaman untuk membantunya bangkit semula. Keadaan akan menjadi sukar. Dari segi praktikalnya, kita memerlukan pelan luar jangka untuk tujuan lesen dan pensijlan yang mungkin telah tamat,
” kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac.Sumber: Bernama