Sukarelawan SAR Ini Kecewa, Pendaki Salah Guna Talian Kecemasan Sewaktu Mendaki Gunung!

Share

Mendaki adalah aktiviti yang sangat menyeronokkan sekiranya dilakukan dengan betul dan berdisiplin. Disiplin yang dimaksudkan, tidak kira mendaki bukit atau gunung, sekiranya kita kerap melakukan latihan dan menjaga kesihatan mental dan fizikal, pasti kita akan dapat menghayati keindahan alam yang cantik tanpa menjejaskan diri sendiri dan orang lain.

Sekiranya tidak ada disiplin dalam latihan dan membuat persiapan yang betul untuk mendaki, di sini titik mula timbulnya masalah yang akhirnya akan menyusahkan – baik menyusahkan diri sendiri dan orang yang berada di sekeliling kita.

Masalah yang biasa adalah kecederaan fizikal dan membawa kepada mental ‘koyak’, ‘pewai’ dan sebagainya.

Apabila mental sudah mula ‘koyak’, ‘pewai’ dan sebagainya, di sini akan timbul satu lagi masalah baru iaitu perangai ‘pelik-pelik’ oleh si pendaki tersebut. Kadangkala masalah perubahan perangai dan tingkah laku si pendaki itu membuatkan ramai pihak yang terjejas termasuklah pihak berkuasa dan barisan sukarelawan untuk menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Seorang pendaki yang kerap menjadi sukarelawan untuk operasi mencari dan menyelamat di dalam hutan bernama Jiwakacau Yut membuat satu hantaran di Facebook, menyatakan kekecewaan beliau apabila ada sesetengah pendaki yang salah guna talian kecemasan sewaktu mendaki gunung.

Beliau menyatakan baru-baru ada pendaki yang membuat panggilan kecemasan dan mendakwa tiga rakan sependakian mereka mengalami masalah sesak nafas, kejang otot di seluruh badan dan muntah-muntah. Namun, selepas pihak penyelamat datang dengan membawa segala kelengkapan menyelamat termasuk tong oksigen, segala kelengkapan yang dibawa untuk misi menyelamat tidak digunakan kerana ketiga-tiga mangsa dalam keadaan stabil.

Malah, lebih membangkitkan kekecewaan apabila mangsa enggan untuk dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan apabila ambulan sampai ke lokasi kejadian!

Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tetapi turut menyusahkan orang lain yang datang membantu untuk misi mencari dan menyelamat.

Tahukah anda berapa kos yang terpaksa dibelanjakan untuk satu-satu misi mencari dan menyelamat di dalam hutan? Berapa banyak masa yang terpaksa digunakan untuk tujuan itu dan berapa ramai tenaga kerja manusia yang terpaksa dikerahkan untuk membantu sesiapa sahaja yang sedang dalam kesusahan di hutan?

Saya yakin, semua kos tersebut tidak menjadi masalah kepada petugas-petugas dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat asalkan mereka dapat turun membantu dan mangsa dapat dikeluarkan dalam keadaan selamat.

Tapi sekiranya berlaku kejadian seperti di atas? Bagaimana perasaan petugas-petugas dan sukarelawan yang terlibat dalam misi tersebut? Sudahlah anda sebenarnya tidak berapa perlu bantuan kecemasan, malah enggan untuk ke hospital apabila ambulan sudah tiba di lokasi.

Jiwakacau Yut juga sempat menyatakan dalam hantaran Facebook beliau kepada para pendaki dan penggiat rekreasi luar agar pastikan rakan-rakan sependakian anda benar-benar memerlukan bantuan sebelum membuat apa-apa panggilan kecemasan. Dapatkan juga jurupandu yang mahir kerana mereka lebih berpengalaman untuk menilai situasi sama ada memerlukan bantuan kecemasan dari penyelamat ataupun tidak.

Pastikan juga anda berada dalam keadaan sihat dan cergas kerana kecederaan yang dialami seperti kes di atas adalah disebabkan kurang latihan, kurang makan dan kurang tidur. Jiwakacau Yut sempat menambah supaya jangan paksa diri untuk jadi hebat seperti orang lain.

Pastikan anda mempunyai latihan yang cukup sebelum ingin melakukan aktiviti mendaki!

Sumber: Jiwakacau Yut

Oleh
Epul