Tam dan Iman kemungkinan adalah dua ekor badak sumbu Sumatera yang masih ada di Malaysia ketika ini, dan berdepan ancaman kepupusan.
Situasi semakin membimbangkan selepas timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Christina Liew, mengatakan tiada lagi badak Sumatera dikesan di Sabah sejak 2016. Kementeriannya melalui Jabatan Hidupan Liar telah menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Borneo Rhino Alliance dan Tabung Alam Dunia (WWF) Malaysia.
Katanya menerusi kerjasama itu, kajian populasi badak sumbu Sumatera dijalankan di dua kawasan itu dan Hutan Simpan Ulu Malua yang dahulunya dikenal pasti mempunyai populasi hidupan liar itu. Menurutnya kajian ini bermula sejak 1978 semasa ‘Faunal Survey of Sabah’ dimulakan dan masih dijalankan sehingga sekarang. Liew berkata antara kaedah kajian ialah menjelajah di hutan untuk mengesan kehadiran badak dan juga memasang perangkap kamera. Bagaimanapun kajian tersebut tidak menemui kesan kaki dan merakam gambar badak sumbu Sumatera. Ini bermakna kawasan itu tidak lagi mempunyai populasi badak sumbu Sumatera.
Tumpuan kini perlu diberikan kepada badak sumbu jantan dan betina terakhir di Malaysia iaitu Tam dan Iman yang masing-masing sudah hampir mencecah usia 30 tahun dan lewat 20-an, yang berada di bawah jagaan Borneo Rhino Alliance (BORA). Malangnya, proses persenyawaan tidak boleh dibuat antara Iman dan Tam memandangkan badak Sumatera jantan terakhir di Malaysia itu sudah berusia.
BORA sedang menunggu lampu hijau dari Indonesia untuk menghantar telur Iman bagi tujuan disenyawakan dengan badak-badak Sumatera jantan yang ada di Institut Pertanian Bogor, Indonesia.
Untuk rekod, jumlah badak sumbu Sumatera telah berkurang dari kira-kira 200 ekor sejak separuh abad yang lalu apabila pembalakan, perladangan dan pembangunan lain semakin aktif di habitat mereka.
Sumber : Bernama | Astro Awani