Ramai yang pernah bertanyakan kepada saya, dimanakah tempat yang terbaik untuk mereka buat lesen skuba? Dah ada beberapa tempat yang mereka survey tapi masih belum jumpa yang berkenan di hati untuk melanjutkan niat mengambil lesen skuba.
Ada beberapa sebab yang menjadikan niat seseorang itu terbantut untuk mendapatkan lesen skuba dan diantara adalah disebabkan oleh kekangan kewangan. Anda perlu tahu, bahawa sukan selam skuba ini adalah sukan yang memerlukan modal duit yang agak besar.
Lesen di peringkat Open Water sahaja menelan belanja hampir RM1400 ke atas. Banyak tempat yang menawarkan harga RM1400 hanya kos untuk mengambil lesen sahaja. Pengangkutan, penginapan, makanan dan lain-lain memerlukan anda mengeluarkan kos yang baharu.
Itu baru lesen di peringkat Open Water, belum termasuk kos sekiranya anda ingin melanjutkan lesen ke peringkat yang lebih tinggi seperti Advance Open Water dan seterusnya.
Setelah lesen diperoleh dengan jayanya, mesti akan terdetik di hati untuk mendapatkan kelengkapan dan peralatan menyelam sendiri. Itu akan menelan lagi belanja ribuan ringgit untuk mendapatkan barang-barang yang berkualiti.
Disebabkan pertimbangan kos untuk menceburkan diri dalam aktiviti selam skuba agak tinggi, menjadikan seseorang itu berfikir tiga, empat kali untuk mendapatkan lesennya yang pertama.
Membuatkan mereka berkira-kira untuk mendapatkan tempat yang benar-benar terbaik dengan wang ringgit untuk mendapatkan lesen yang pertama.
Bagi menjawab persoalan anda yang bertanyakan dimanakan tempat yang terbaik untuk mula mendapatkan lesen skuba, jawapan yang terbaik saya boleh berikan adalah dengan mengikuti program Start In Tioman atau SIT yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Negeri Pahang).
Selayang pandang mengenai program SIT, program ini diadakan setahun sekali di Kampung Genting, Pulai Tioman dan bertujuan untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia malah pelancong luar negara datang ke negara ini sambil melancong dan menyelam skuba dengan harga yang paling berpatutan.
Kenapa saya katakan SIT adalah ‘gerbang’ pertama terbaik untuk anda mula menjadi penyelam skuba? Ia adalah kerana tawaran harganya lebih kompetitif berbanding tawaran-tawaran yang mungkin anda dapatkan di tempat lain.
Tidak berniat untuk merendah-rendahkan pakej daripada tempat lain tetapi inisiatif kerjasama antara MOTAC Negeri Pahang bersama beberapa organisasi berkaitan selam skuba seperti Damai Tioman Resort mempu menjadikan harga yang anda bayar lebih berbaloi dengan pulangan dan perkhidmatan yang akan anda terima.
Bukan bermaksud untuk mempromosikan program SIT tersebut tetapi daripada pengalaman saya yang pernah hadir membuat liputan semasa program SIT 2019 baru-baru ini, kos untuk menyertai SIT adalah lebih rendah berbanding dan termasuk dengan kos pengangkutan anda daripada Jeti Tanjung Gemuk ke Kampung Genting, Pulai Tioman, kos penginapan selama empat hari 3 malam dan makan sebanyak 3 kali sehari.
Selain daripada itu, antara nilai lain yang saya suka mengenai program SIT ini dan mengapa saya mengesyorkan kepada anda untuk menyertai program ini adalah kerana persekitaran orang-orang yang berada di situ membuatkan anda selesa dan melayani anda seperti saudara. Akan saya huraikan perkara ini di entri yang akan datang, kenapa saya berkata demikian.
Dalam masa sama, sepanjang masa program dijalankan, ada banyak aktiviti telah direncanakan oleh pihak penganjur menjadikan pengalaman anda menyertai dan mengambil lesen di SIT ini tak sendu dan membosankan. Anda bayangkan anda mengambil lesen seorang diri ditempat lain dan tidak ada aktiviti lain selain daripada kelas teori dan praktikal skuba semata-mata, adakah itu tak membosankan? Bosan beb.
Secara jujur saya katakan, pengalaman saya selama berada di program SIT baru-baru ini amat menyeronokkan dan saya mahu anda juga merasai pengalaman yang sama. Tak kan saya nak syorkan kepada anda sesuatu yang tak menarik, betul tak?
Saya akan kongsikan pengalaman saya semasa berada di program SIT didalam entri yang akan menyusul selepas ini, dan akan saya ceritakan kepada anda mengapa saya katakan SIT adalah salah satu gerbang terbaik untuk anda menceburkan diri dalam dunia selam skuba.
Teruskan membaca bersama Libur..