Staf MRT Kajang Positif COVID-19. Jangan Risau, Perkhidmatan MRT Masih Selamat Digunakan!

Share

Seorang kakitangan Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan operasi MRT Laluan Kajang disahkan positif Covid-19.

Rapid Rail menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya berkata, pengendali tren itu kali terakhir bertugas pada 21 Oktober lalu dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Rapid Rail yang menjadi operator untuk MRT Laluan Kajang melaksanakan kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja kakitangan berkenaan berpandukan garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tren pula sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit itu diminta menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Rapid Rail juga sudah memaklumkan semua langkah diambil itu kepada agensi berwajib termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Buat pengguna, tidak perlu risau kerana perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana seperti LRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti adalah selamat digunakan.

Pengguna diingatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka sepanjang masa, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, mengambil suhu badan dan mendaftar di aplikasi MySejahtera atau buku log disediakan sebelum memasuki tren.

Oleh
Husna