Sigiriya Sri Lanka Dibina Oleh Raja Zalim Kini Jadi Lokasi Pelancongan Dunia

Share

Jika dilihat peta dunia, Sri Lanka bagaikan setitik air yang mengalir dari benua India. Namun, setelah anda menjelajah ke merata destinasi menarik negara yang majoritinya berketurunan Sinhala, Sri Lanka sebenarnya menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang lengkap antaranya tamadun warisan lama.

Disebabkan faktor negara ini berhampiran dengan negara India, sehingga kini masih wujud kesan-kesan istana lama, candi Hindu dan Buddha purba yang menjadi destinasi tumpuan ramai pengunjung.

Kota batu di Sigiriya yang dibina pada kurun ke-5 masihi oleh Raja Kasyapa bukan saja mengasyikkan tetapi menguji stamina untuk memanjat tangganya sehingga ke puncak. Ia telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada 1982.

Kisah Raja Zalim

Kitab sejarah purba Sri Lanka, ‘Mahavamsa’ mencatatkan Kasyapa sebagai seorang yang zalim apabila beliau membunuh ayahandanya, Raja Dhatusena yang ketika itu kerajaannya berpusat di Dambulla dan merampas takhta yang sepatutnya diwarisi oleh abangnya. Perang saudara tercetus akibat perebutan tersebut, menyebabkan Kasyapa melarikan diri ke kawasan pedalaman dan membina Sigiriya. Dikatakan keutuhan kota itu tidak mampu menampung kemaraan tentera abangnya yang akhirnya memaksa Kasyapa membunuh diri.

Oleh
Husna