Si Kaki Travel & Si Penggemar Sukan Lasak Patut Beli Dron Tak?

Share

Seronok tengok orang kongsi gambar ‘travel’ di sosial media. Makin kreatif dan pelbagai gambar-gambar serta video yang diambil. Menjadi fenomena dan tren hari ini dalam kalangan kaki travel akan membawa gajet seperti dron. Katanya kepuasan lebih dapat jika mempunyai hasil foto atau video sudut gambar yang pelbagai. 

Yela, mana tidaknya bukan kita selalu dapat datang kembali ke destinasi-destinasi pelancongan yang kita jejak itu kan? Ada betulnya juga. Tetapi sebelum membuat pertimbangan untuk membeli dron sebagai gajet untuk anda travel. Semak tip daripada iluminasi ini terlebih dahulu.

Tujuan

Setiap orang pastinya mempunyai tujuan tertentu untuk membeli dron. Adakah anda mahu mengambil video atau gambar? Atau sekadar suka-suka? Adakah dron tersebut akan digunakan di luar (outdoor) atau dalam bangunan (indoor) sahaja? Bagi kegunaan dalam bangunan, dron bersaiz kecil sudah memadai manakala bagi kegunaan luar, dron bersaiz besar lebih digalakkan kerana perlu mengambil kira faktor lain seperti kelajuan angin dan ketahanannya.

Selain itu, ketahui tahap skil anda. Bagi dron asas, biasanya ia lebih mudah dikawal dan sesetengahnya membolehkan anda mengawal menggunakan telefon bimbit. Dron untuk pengguna baru biasanya lebih mudah dikawal dan tidak terlalu teknikal. Bagi dron yang lebih canggih, biasanya ia akan menggunakan alat kawalan jauh dan lebih sukar dikawal pada awalnya.

Jenis Kamera

Antara fungsi utama yang biasanya perlu dipertimbangkan adalah kualiti kamera. Adakah anda memerlukan kamera atau tidak? Sekiranya tidak memerlukan kamera, lebih baik dapatkan sahaja dron yang tidak didatangkan sekali dengan kamera kerana harganya jauh lebih murah berbanding yang mempunyai kamera. Selan itu, ada juga dron yang tidak mempunyai fungsi kamera terbina (built-in) tetapi mempunyai ruang khas untuk anda meletakkan kamera aksi (action camera) padanya.

Kualiti gambar kamera dron juga perlu diberi perhatian. Kamera dengan kualiti gambar dan video HD, harganya tentulah lebih mahal. Dron yang lebih mahal juga biasanya dilengkapi aksesori gimbal yang membolehkan anda mengambil gambar dan merakam video dalam keadaan stabil.

Jangka Hayat Tempoh Bateri

Selain kamera, ketahanan bateri adalah satu lagi perkara yang mesti diambil kira. ‘Flight time’ adalah istilah yang biasanya digunakan untuk membandingkan ketahanan bateri sesuatu dron. Dron yang lebih murah biasanya boleh terbang selama 7 minit atau kurang dengan sekali caj bateri. Dron yang lebih mahal dan bagus pula boleh terbang lebih lama, sekitar 20 minit atau lebih.

Bagi yang berkemampuan, anda juga boleh membeli bateri tambahan yang dijual secara berasingan. Walau bagaimanapun, anda perlu mengambil kira kos tambahan pembelian bateri tambahan tersebut. Belilah mengikut kegunaan anda.

GPS

Bagi pengguna biasa, fungsi GPS mungkin tidak diperlukan. Bagi pengguna lebih profesional, fungsi ini membolehkan anda mengetahui lokasi (coordinate) setiap gambar yang dirakam. Biasanya dron dengan GPS ini mempunyai beberapa mode yang lebih canggih, antaranya mode Return-to-home (RTH) dan mode Follow-Me.

Mode RTH adalah mode navigasi yang membantu anda kembali ke tempat asal sekiranya anda tersesat. Sementara itu, mode Follow-Me pula membolehkan dron anda mengikuti dan merakam video anda secara automatik tanpa kawalan anda ketika anda sedang melakukan aktiviti lasak seperti bersukan dan hiking.

Bajet

Kalau ikutkan nafsu, segalanya kita mahukan yang terbaik, daripada kualiti kamera, GPS sehinggalah kepada ketahanan bateri. Oleh itu, ketahui bajet anda. Berapakah anda sanggup melabur untuk sebuah dron? Berbaloikan membeli dron yang mahal sekiranya hanya membeli sekadar suka-suka dan bukan kerana minat?

Kalau nak dapatkan shot-shot menarik ketika percutian anda, tepuk dada tanya selera!

Oleh
Husna