Bergerak seawal 4 pagi dari Stesen Keretapi Tumpat ke hentian akhirnya di Stesen Keretapi Gua Musang, tren henti-henti yang dinamakan ‘Shuttle Timur’ ini tidak pernah jemu menabur jasanya kepada penduduk Kelantan setiap hari.
Perjalanan selama lapan jam dari Tumpat ke Gua Musang dan sebaliknya setiap hari sedikitpun tidak pernah melunturkan semangat lebih 100 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menguruskan operasi tren sepanjang 227 kilometer membabitkan 11 stesen dan 22 perhentian itu.
Pengangkutan awam ini disifatkan sebagai satu perkhidmatan perlu untuk membawa penduduk di pedalaman untuk mendapatkan keperluan harian mereka selain urusan perubatan di Hospital Kuala Krai dan di Gua Musang.
Ia dianggap satu keperluan penting sekali untuk penduduk dan sebab itu tren ini akan menjalankan tanggungjawabnya setiap hari kerana penduduk yang tinggal di pedalaman sukar untuk bergerak menggunakan jalan raya.
Shuttle Timur ini cukup terkenal dalam kalangan guru dan pelajar sekolah yang menggunakan perkhdmatan ini setiap hari. Kalau sebelum ini, empat gerabak tren ini membawa lebih 200 penumpang pada satu-satu masa tetapi pada masa PKP jumlahnya jauh berkurangan.
Sebelum ini kereta api yang digunakan adalah dari jenis coach yang lama yang tiada aircond tetapi sejak tahun 2009, ianya telah diganti dengan yang agak baharu dan diberi nama ‘Shuttle Train’. Jika dari Kelantan, stesennya bermula di Stesen Keretapi Tumpat dan keretapi yang paling awal berlepas pada jam 4.20 pagi. Sebelum diganti dengan coach yang baharu kereta api ini bergerak lebih awal lagi dari Stesen Tumpat iaitu sekitar jam 3 pagi.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini, tren ini tetap ‘mendapat mandat’ meneruskan khidmat baktinya kepada rakyat negeri ini terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
Semasa PKP fasa pertama, tren tersebut hanya membawa lima penumpang namun ketika PKPB berkuat kuasa, lebih 50 penumpang atau lebih dicatatkan setiap hari apabila kelonggaran diberikan kerajaan.
Sepanjang PKP, penumpang yang akan menaiki tren itu akan diperiksa terlebih dahulu suhu badan selain perlu memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman. Kalau satu gerabak sebelum ini boleh memuatkan seramai 60 orang, kini dikurangkan kepada 30 orang kerana kita mengamalkan penjarakan sosial kepada penumpang.
Sumber: Bernama
Foto:Bernama | wazariwazir.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI