‘Short Trip’ Ke Pulau Redang & Kuala Terengganu. Redah 2H1M Sahaja Pun Dah Seronok!

Share

Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, ramai yang memilih negeri di pantai timur untuk bercuti terutamanya di kawasan pulau yang cantik. Tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang tinggi dalam kalangan pengusaha resort di pulau peranginan di Terengganu memberi keyakinan kepada pelancong untuk memilih pulau di negeri ini sebagai destinasi percutian.

Pulau Redang antaranya terkenal dengan pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru. Pulau Redang merupakan antara pulau pilihan terbaik untuk pelancong yang inginkan pengalaman percutian di pulau tropika. Bagaimanapun, biar hanya sekejap dapat bercuti di Terengganu, anda pasti jatuh cinta dengan keramahan penduduk dan terpukau dengan keindahan negeri keropok lekor ini.

Ini perkongsian daripada FB Nasi Lemak Seremban yang sempat berkongsi dengan Majalah LIBUR tripnya ke Terengganu selepas 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke sini. Paling menarik, walaupun hanya dua hari tempoh percutiannya, namun terisi dengan pelbagai aktiviti menarik. Jom baca!

10 tahun yang lalu adalah kali terakhir aku melawat pulau yang cukup Indah dan damai bagiku. Setelah 10 tahun itu jugalah hatiku membuak-buak untuk mengunjunginya kembali walaupun kali ini tiada teman-teman yang menemaniku.

Hari Pertama

  • Perjalanan sekitar 7jam dari Bandaraya Seremban dengan menaiki bas persiaran dengan harga tiket RM50.60 sehala aku dan anak buahku Fadly menuju ke pulau yang sinonim dengan penyu itu. Perjalanan kami bermula lebih kurang jam 9.30 malam dari Terminal One Seremban dan sekitar jam 4.30 pagi bas yang kami naiki tiba di Terminal Bas Kuala Terengganu.

  • Setiba disana kami terpaksa menunggu sehingga jam 6.00 pagi untuk kami menaiki mybass menuju ke Jeti Merang dengan harga cuma RM5.80 seorang, kami hanya mengambil pakej “Daytrip” sahaja untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang ada di sekitar Pulau Redang tersebut. Pakej yang dikenakan kepada kami adalah sebanyak RM120 seorang ianya termasuk trip ke 5 buah pulau dan makan tengah hari juga disediakan oleh mereka. Aku memang suka dengan keindahan Laut yang terbentang luas, bagiku dengan melihat keindahan alam tersebut dapat melupakan segala masalah yang ada padaku.

  • Hampir seharian kami meronda di sekitar Pulau Redang cukup puas aku rasakan dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang kami dibawa berjalan sekitar pulau tersebut kami turut bermain dengan penyu yang cukup sinonim dengan Negeri Terengganu itu. Setelah sampai di Jeti Merang kembali kami bergegas bersiap menukar pakaian untuk mendapatkan bas terakhir ke Kuala Terengganu kembali dan akhirnya kami sempat mendapatkan Mybass terakhir menuju ke Kuala Terengganu yang memakan masa lebih kurang satu jam perjalanan.

  • Kami tiba di Kuala Terengganu sekitar jam 6.30 petang dan kami terus menuju ke Arena Boutique Hotel yang terletak tidak jauh dari Terminal Bas Kuala Terengganu, kami menyewa hotel tersebut dengan harga RM140.00 untuk 1 malam hotel tersebut sangat selesa dan luas berbaloilah untuk kami berdua menginap. Selepas check in aku pun berjalan disekitar hotel tersebut dan kebetulan disana terdapat “street food bazar” ala-ala pasar malam tapi terletak ditengah bandar Kuala Terengganu, selesai makan kami pulang ke hotel dan terus berehat sehingga esok pagi.

Hari Kedua

  • Seawal pagi kami dah bersiap, destinasi kami pagi kedua adalah ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan tujuan utama adalah banyak untuk bergambar kenang-kenangan kami kesana hanya menaiki “grab” dengan tambang hanya RM6.00 bak kata orang alang-alang dah sampai kenapa tidak bergambar. Selesai di Jambatan Angkat Kuala Terengganu kami terus ke Kedai Pasar Payang untuk membeli sedikit oleh-oleh untuk dibawa pulang, disana kami hanya membeli sedikit keropok lekor dan keropok ikan tamban yang sedap dan segar. Kemudian kami terus pulang ke hotel dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidaklah terlalu jauh sekitar 10 minit berjalan kaki.

  • Selepas “check out” kami meninggalkan barang-barang kami di lobi hotel kerana kami telah “deal” dengan petugas hotel tersebut untuk menumpangkan barang kami sehingga malam kerana bas kami pulang ke Seremban pada waktu malam. Kami terus makan tengahari di sekitar terminal bas, selesai makan kami menaiki bas C02 (bentuk rumah Terengganu) dengan tiket berharga RM1.00 seorang kami menuju ke Masjid Kristal bergambar sambil membuang waktu disana. Kami juga turut melawat Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu disana terdapat pelbagai mini masjid yg terdapat di dunia antaranya Masjid Negara Malaysia, Taj Mahal India dan banyak lagi dengan bayaran tiket RM20.00 seorang. Setelah penat berjalan kami pulang semula ke hotel dan bersiap untuk pulang ke Seremban kembali.

Kos Perbelanjaan

  • Bas 2 hala RM50.60 x 2 orang x 2 hala = RM202.40
  • Bas ke Jeti Merang RM5.80 x 2 orang x 2 hala = RM23.20
  • Grab RM12.00
  • Hotel 1 malam = RM140.00
  • Pakej Pulau RM120.00 x 2 orang = RM240.00

Jumlah = RM617.60 (tidak termasuk makan dan shopping)

Sekian.

Oleh
Admin