Buat rakyat Malaysia yang ingin ke Perancis, ambil langkah keselamatan dengan menjaga kesihatan diri daripada terkena strok haba. Perancis kini dilanda cuaca panas dan gelombang haba tertinggi negara itu dengan suhu dilaporkan mencecah sehingga 45.9 darjah Celsius.
Susulan itu perkhidmatan cuaca negara itu mengeluarkan amaran merah di empat kawasan buat pertama kalinya pada Jumaat lepas. Perancis antara beberapa negara di Eropah kini berdepan dengan keadaan cuaca melampau yang telah meragut beberapa nyawa.
Di ibu kota Perancis, ramai dilihat berkumpul di kawasan air pancut terutama di tempat tumpuan pelancong di sekitar Menara Eiffel bagi menyejukkan badan.
Kawasan-kawasan sekitar pantai dan kolam umum juga dipenuhi dengan ramai orang yang datang untuk menyejukkan badan.
Menurut pakar meteorologi, gelombang haba ini disebabkan udara panas dari utara Afrika dan juga ribut yang kini sedang melanda Lautan Atlantik. Sebelum ini pada 2003, gelombang haba yang melanda Perancis mencatatkan suhu tertinggi 44.1 darjah Celcius.