Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura 10 Ogos ini, adalah permulaan bagi merancakkan semula sektor ekonomi negeri ini yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.
Pembukaan sempadan itu juga keputusan yang sangat dinanti-nantikan oleh warga kedua-dua negara. Malaysia dan Singapura dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi memenuhi keperluan pekerja yang berulang alik antara dua negara itu. Menerusi pelaksanaan RGL, ia membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.
Kerajaan Johor juga ketika ini sedang sibuk membuat persiapan terhadap pematuhan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Perkara ini amat penting dalam usaha kedua-dua negara memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sebaik mungkin demi kesihatan dan keselamatan rakyat.
Setiap rakyat Malaysia dan Singapura perlu terus mengamalkan langkah pencegahan COVID-19 bagi mengelak sebarang penularan COVID-19 susulan cadangan pembukaan sempadan kedua-dua negara itu secara bersyarat pada 10 Ogos 2020. Situasi semasa penularan COVID-19 yang semakin baik bagi kedua-dua negara bukanlah sebab untuk rakyatnya terus alpa dengan langkah pencegahan yang sewajarnya.
Selain perlu mematuhi protokol kesihatan yang ketat, mereka yang berhasrat untuk merentas dua negara ini secara RGL perlu memberi cadangan jadual perjalanan di negara mereka bekerja.
Sumber: astroawani