Selepas Pulau Di Terengganu, Kelantan Muncul Negeri Paling Ramai Pelancong Singgah Ketika PKPP. Tahniah!

Share

Pulau-pulau di Terengganu telah diumumkan baru-baru ini sebagai pulau yang paling banyak menerima kedatangan pelancong domestik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terkini, Kelantan juga muncul sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong, memberi isyarat yang baik negeri itu melalui fasa pemulihan yang cemerlang. Destinasi menarik, musim cuti sekolah dan syurga makanan di Kelantan menjadi antara faktor penyumbang kepada kebanjiran pelancong domestik di negeri itu. Ditambah pula dengan keyakinan pelancong terhadap aspek keselamatan dan kesihatan terhadap negeri Kelantan.




Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, ini membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Kelantan dalam aktiviti ekonomi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Persatuan Hotel Malaysia yang menyatakan Kelantan muncul sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kebanjiran pelancong domestik ke negeri Cik Siti Wan Kembang disebabkan rakyat Kelantan yang berada di ibu kota mengambil peluang untuk pulang dan dalam masa yang sama bercuti di negeri itu. Bagaimanapun beliau tidak menolak kebanjiran pelancong daripada negeri lain yang baru membuka mata akan keunikan tempat pelancongan di negeri Kelantan.

  • Persatuan Hotel Malaysia juga mengesahkan kedatangan pelancong domestik yang diukur dari kadar penghunian purata (AOR) untuk negeri itu menunjukkan peningkatan bermula sebulan selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada pertengahan Jun lalu. Dalam masa yang sama, fasa pemulihan di Negeri Kelantan dijangka akan lebih cepat sekiranya kedatangan pelancong ke negeri itu dapat dikekalkan atau lebih tinggi. Kesan kedatangan pelancong yang positif ketika ini memberi kesan limpah ekonomi kepada penduduk yang sebelum ini terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19.

Rakyat Kelantan! Sila Rebut Peluang Keemasan Ini..


Bagi memastikan kedatangan pelancong di negeri Kelantan kekal dan meningkat ekonomi masyarakat, rakyat di negeri Kelantan digalakkan melibatkan diri dalam sektor industri ekopelancongan atau community based tourism bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke negeri itu. Melalui eko pelancongan momentum kedatangan pelancong yang tinggi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dapat dikekalkan walaupun memasuki Monsun Timur Laut yang melanda setiap hujung tahun. Produk pelancongan berasaskan makanan juga merupakan sektor yang begitu popular di Kelantan dan menjadi pemacu utama tarikan di negeri itu.

image via google | sumber: Bernama

Oleh
Husna