Taman Negeri Rompin, Pahang yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia 'kembali' menerima pelancong dan 'kaki nature' pada 1 Oktober 2020 ini selepas ditutup sejak empat tahun lalu bagi tujuan menaik taraf.
Ada yang rindu tak?
Penutupan taman negeri yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Rompin sebelum ini adalah bagi kerja menaik taraf dan pembinaan infrastruktur yang menelan belanja sebanyak RM15 juta, seperti jambatan gantung, menara tinjau, dewan serba guna dan bilik makmal penyelidikan. Projek itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bermula pada 25 Ogos 2016 dengan operator dilantik dijangka melabur sebanyak RM25 juta dalam tempoh 30 tahun untuk meningkatkan fasiliti di situ termasuk pembinaan log cabin chalet dan chalet atas pokok.
Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin, diwujudkan pada 7 Dis 2000 dan dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun serta mempunyai hutan yang dikelaskan sebagai hutan tropika tanah pamah malar hijau.Taman negeri ini bukan hanya terkenal sebagai destinasi ekopelancongan dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut popular dalam kalangan pelancong asing kerana ciri hutannya yang menarik dari segi flora dan fauna, geologi dan sejarah. Ia juga mempunyai keindahan semula jadi yang unik dan hutan asli yang sukar ditemui di kawasan lain, selain turut mempunyai Air Terjun Seri Mahkota yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke sini.
Pembukaan semula Taman Negeri Rompin diharapkan dapat meningkatkan aktiviti ekopelancongan di sini, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat, seperti sektor inap desa, makanan tradisional, penghasilan kraftangan dan pemandu pelancong.
image via google & endaurompin.my | sumber: Bernama