Selayang merupakan sebuah kawasan yang cukup sinonim di negeri Selangor yang terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Kedudukannya di Utara ibu kota tersebut menjadikan Selayang sebagai lokasi penginapan ramai warga kota.
Bila sebut Selayang pasti ramai yang terbayangkan Pasar Borong Selayang yang besar dan menawarkan pelbagai makanan dan barang mentah yang didatangkan dari seluruh pelosok negara dan luar negara.
Namun Selayang lebih daripada itu! LIBUR tertarik dengan perkongsian dari Tourism Selangor tentang beberapa hotspot tempat makan best di Selayang! Kalau menjelajahinya ini beberapa lokasi tempat makan anda boleh cuba dalam masa sehari.
1. Sarapan Pagi di Nasi Lemak Ujang Corner
Nasi Lemak Ujang Corner ialah tempat sarapan yang popular dalam kalangan penduduk tempatan, menyajikan pelbagai hidangan termasuk rendang daging, kari daging, kari ayam dan ayam goreng. Menu nasi lemak yang enak di sini juga cukup digemari oleh pelanggan setempat mahupun luar.
Alamat : Jalan 2/16, Dataran Templer, 68100 Batu Caves, Selangor.
2. Makan Tengah Hari di Restoran Kari Kepala Ikan SG
Jika anda sedang mencari lokasi untuk makan tengah hari di Selayang, bolehlah singgah ke Restoran Kari Kepala Ikan SG. Terdapat pelbagai jenis makanan untuk dipilih dan pilihan hidangan juga dipaparkan di kaunter untuk memudahkan pesanan anda. Tiada siapa yang dapat menahan aroma menggoda seperti kari kepala ikan, ayam pandan, kerabu mangga, serta menu pilihan lain. Selain itu, restoran ini juga menampilkan suasana yang mesra- pengunjung.
Alamat : 10-12, Jalan SG 1/8, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.
3. Minum Petang di The Rack Boutique Cafe
Jika anda mahukan hidangan yang berbaloi, The Rack Boutique Cafe adalah pilihan untuk minum petang yang anda perlu cuba. Ia bukan hanya menawarkan pelbagai hidangan, anda juga boleh memesan menu “shell out”, masakan barat dan pencuci mulut. Malah, hidangan dulang juga menjadi salah satu pilihan ramai pelanggan di sini, yang tentunya lebih berbaloi!
Alamat : 1, Jalan Os 1/4, One Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor.
4. Makan Malam di Golek-Golek Suasana Kampung
Restoran ini menampilkan menu masakan Melayu, Cina, dan Barat. Antara yang paling popular ialah ikan bakar dengan sambal petai, udang galah gulai lemak, keli salai, dan sotong, lala, ketam, dan kerang. Ikan bakar menjadi menu pilihan pelanggan di sini, Rata-rata mereka berpuas hati dengan masakan, perkhidmatan dan keselesaan yang ditawarkan.
Alamat : Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak, 68100 Selangor.
5. Makan Lewat Malam di Daily Burger
Daily Burger beroperasi sehingga pukul 3.00 pagi, jadi jika anda ingin dapatkan makanan pada lewat malam, mereka mempunyai beberapa pilihan yang menarik, seperti OG Burgers, yang disediakan mengikut cita rasa dengan tambahan bahan seperti kepingan nanas, yang menghasilkan rasa yang menarik. Selain daripada pilihan burger ayam dan lembu, terdapat beberapa pilihan patty seperti rusa, arnab, dan kambing.
Alamat : 3, Jalan SG 1/11, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.
Selain dari tempat-tempat yang disenaraikan atas, Negeri Selangor mempunyai pelbagai lagi restoran dan tempat makan yang menarik yang perlu anda terokai terutamanya pada tahun 2022.
Negeri Selangor merupakan destinasi pelancongan utama di Malaysia, justeru, apabila bercakap mengenai seleksi makanan di Negeri Selangor, ia bukan sahaja untuk memuaskan selera anda, namun juga bagi memenuhi perjalanan “Pusing Selangor Dulu!” anda yang tentunya mengujakan; jadi apa kata mulakan di Selayang?
Namun, bagi mengekalkan kesejahteraan ramai, pelancong diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara, seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa di khalayak ramai, dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.
Kredit: Tourism Selangor