Selangor, Negeri Pertama Larang Pengunjung Taman Rekreasi Hisap Rokok, Vape & Minum Arak. Berkuat Kuasa Serta Merta Ya!

Share

Satu langkah baik apabila kerajaan Selangor mengumumkan larangan menghisap rokok dan vape serta minum arak di semua taman permainan dan rekreasi di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Larangan itu dibuat selepas kerajaan negeri meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (UKK Taman 2005). Kerajaan Selangor meluluskan untuk menambah aktiviti meminum arak dan merokok termasuk vape ke dalam senarai kesalahan UKK Taman 2005. Sebelum ini, senarai kesalahan di UKK Taman tidak menyatakan aktiviti meminum arak dan menghisap rokok sebagai aktiviti yang dilarang.

Berikutan penguatkuasaan larangan itu, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak, menghisap rokok dan vape di taman permainan dan rekreasi.

Jangan degil ya, kerana pihak berkuasa tempatan telah diarah melakukan pemantauan dan mana-mana pihak yang dikesan melanggar peraturan itu boleh didenda sebanyak RM1,000 bagi setiap kesalahan.

Demi keselesaan dan kesihatan para pengunjung terutamanya kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah, bersukan dan melakukan aktiviti kekeluargaan lebih-lebih lagi semasa pasca-COVID-19, tiba masanya untuk Selangor melarang perbuatan meminum arak dan merokok di taman permainan dan rekreasi. Orang awam yang melihat perbuatan ini juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada PBT di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan ke atas pihak berkenaan dapat dibuat.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna