Selangor mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi pelawat domestik iaitu sebanyak RM15.5 bilion pada 2019, menurut laporan Survei Pelancongan Domestik Mengikut Negeri 2019. Ia diikuti Kuala Lumpur iaitu sebanyak RM12.1 bilion, Sarawak RM8.7 bilion, Sabah RM8.1 bilion dan Perak RM7.8 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata lima negeri tersebut menyumbang 50.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2019.
Ads
Bagi jumlah kedatangan pelawat domestik, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33.6 juta orang, diikuti Kuala Lumpur 22.6 juta, Sabah 22 juta, Perak 21.1 juta dan Sarawak 19.8 juta.
Ads
Ads
Daripada segi trend perjalanan bermalam, tujuan lawatan iaitu mengunjungi saudara-mara dan rakan-taulan merekodkan angka tertinggi bagi semua negeri.
Melaka mencatatkan peratusan perjalanan tertinggi bagi tujuan percutian, iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan perjalanan, diikuti Pulau Pinang sebanyak 28.2 peratus, Pahang 26.6 peratus dan Sabah 21.5 peratus.
Berdasarkan pilihan untuk jenis penginapan, majoriti pelancong memilih penginapan yang tidak berbayar seperti rumah saudara dan sahabat handai, kecuali bercuti di Melaka, Labuan dan Putrajaya.
Semua negeri mencatatkan jumlah pelawat domestik yang tinggi bagi kategori umur antara 25 hingga 39 tahun.
Bagi kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik pula beliau berkata, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan merekodkan peratusan tertinggi bagi pelawat domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3, 000 sebulan.
Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan peratusan pelawat domestik tertinggi daripada kalangan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan, manakala Melaka adalah negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelawat domestik bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan
image via google | Sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Orang-orang lama mesti ingat peristiwa yang pernah berlaku di ambang malam Aidilfitri tahun 1983. Peristiwa yang berlaku ni sampai bila-bila pun tidak akan berlaku lagi dan kepada anda yang sempat mengalami peristiwa tersebut, sesungguhnya anda adalah orang yang sangat beruntung.
Peristiwa yang Libur maksudkan adalah kejadian di mana negeri Perak dan Johor sambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari daripada negeri-negeri lain di Malaysia. Seronokkan? Waktu orang lain masih lagi dalam suasana berpuasa, kita di Perak dan Johor sedang sibuk untuk menyediakan juadah dan persiapan menyambut Syawal esok hari.
Macam mana boleh berlaku kejadian sebegini di negeri Perak dan Johor? Mari kita imbau sejenak kejadian yang berlaku pada tahun 1983 itu.
Kejadian Perak beraya awal itu berlaku semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Idris Shah apabila ada beberapa kumpulan nelayan yang pulang dari laut mengatakan mereka telah ternampak anak bulan. Berita yang dibawa oleh kumpulan nelayan itu tadi telah tersebar luas ke seluruh negeri dan desas-desus mengatakan bahawa pihak marin yang bertugas di laut ketika itu turut mengakui akan kesahihan berita berkenaan.
Dek kerana waktu itu penyebaran berita dari mulut ke mulut juga sepantas penyebaran berita di media sosial seperti zaman sekarang, maka berita anak bulan telah kelihatan berkenaan juga telah sampai ke pengetahuan mufti dan telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan dengan kadar segera kerana Tuanku Sultan mempunyai kuasa penuh untuk mengisytiharkan hari raya di tanah jajahan Tuanku.
Sebaik sahaja berita berkenaan sampai ke pengetahuan Tuanku Sultan, baginda terus sahaja menitahkan agar semua jentera kerajaan negeri memaklumkan kepada rakyat jelata perkara berkenaan dan di sinilah terjadinya Perak dan Johor menyambut 1 Syawal awal sehari berbanding negeri-negeri lain di Malaysia ketika itu.
Maka, kecohlah seluruh alam yang berada di negeri Perak dan Johor pada waktu itu apabila Jabatan Penerangan dan polis menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan hari raya di bandar dan juga desa. Ada perkongsian daripada pembaca-pembaca di laman sosial yang hidup dan pernah melalui peristiwa tersebut mengatakan bahawa mereka yang berada di Perak terkejut dengan pengumuman tersebut. Ada beberapa tempat yang menerima pengumuman di tengah malam dan awal pagi. Nak dijadikan cerita, sepantas kilat mereka bangkit dari katil dan terus membuat persiapan menyambut Aidilfitri menjelang pagi nanti.
Bukan setakat terkejut untuk membuat persiapan hari raya, ada beberapa tempat yang ‘bergaduh’ dek kerana peristiwa Perak dan Johor beraya sehari awal. Maklumlah, ada negeri yang masih berpuasa manakala Perak dan Johor sudah pun menyambut 1 Syawal. Tempat-tempat di kawasan sempadan antara negeri-negeri tersebut sudah tentu mengalami perbalahan antara mereka.
Tidak kurang juga yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman berasa aneh apabila ada beberapa tempat yang dilalui sebelumnya sedang berpuasa tetapi sebaik sahaja tiba di Perak atau Johor, orang ramai memenuhi warung sambil makan dan menghisap rokok.
Terasa lucu apabila membaca pengalaman yang dilalui oleh mereka yang hidup di waktu itu. Mesti setiap kejadian yang terpahat di dalam memori akan membuatkan mereka tersenyum sendirian apabila dikenang kembali.
Untuk pengetahuan anak-anak millennial yang tidak pernah tunggu pengumuman raya kaca tv atau corong radio, dahulu orang ramai akan ternanti-nanti pengumuman yang akan dibacakan oleh Penyimpan Cop Mohor Raja-Raja. Oleh yang demikian, seluruh sanak saudara akan memenuhi ruang utama di kampung halaman untuk sama-sama mendengar pengumuman tersebut. Meriah waktu itu!
Kini, setelah berpuluh tahun berlalu, penentuan bulan puasa dan raya sudah tidak menjadi perkara pokok lagi kerana ia sudah sudah bertahun-tahun selari dan ada dicatatkan dengan kalendar dengan kiraan yang betul. Sejak dari itu, sambutan perayaan aidilfitri tidak pernah lewat dan tidak pernah awal lagi.
Sekurang-kurangnya 25 juta pekerjaan di peringkat antarabangsa termasuk 11.2 juta di rantau Asia Pasifik berisiko hilang kerja susulan kemerosotan permintaan mendadak bagi perjalanan udara akibat krisis penularan COVID-19.
Dalam keadaan sekatan perjalanan serius selama tiga bulan, penyelidikan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menunjukkan bahawa kira-kira 25 juta pekerjaan bidang penerbangan dan sektor berkaitannya di seluruh dunia kini berisiko selain Asia Pasifik manakala 5.6 juta pekerjaan di Eropah, Amerika Selatan (2.9 juta), masing-masing 2 juta di Amerika Utara dan Afrika serta 0.9 juta di Timur Tengah.
Malah, dalah senario sama, syarikat-syarikat penerbangan dijangka menyaksikan hasil penumpang bagi tahun penuh merosot sebanyak US$252 bilion (US$1 = RM4.34) (- 44 peratus) pada 2020 berbanding 2019.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa lagi, tempoh suku kedua 2020 adalah yang paling kritikal apabila permintaan merosot 70 peratus yang merupakan paras terburuknya selain kerugian tunai sebanyak US$61 bilion.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan merangkumi 82 peratus aliran udara global, turut menumpukan aspek pendekatan komprehensif bagi pemulihan industri itu selepas dibenarkan untuk berbuat demikian oleh pihak kerajaan serta pihak kesihatan umum.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata syarikat-syarikat penerbangan turut meminta kerajaan masing-masing menyalurkan bantuan kewangan segera untuk membolehkan perniagaan kekal bertahan dan mampu pulih selepas wabak COVID-19 dapat dibendung.
“Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan betapa meruncingnya impak COVID-19 terhadap industri penerbangan. Malah, kesukaran ekonomi itu akan dikongsi oleh 25 juta pekerja yang bergantung hidup dengan syarikat penerbangan. Ia sepatutnya menjadi perniagaan yang berdaya maju agar dapat kembali pulih selepas COVID-19 dapat dibendung. Bantuan terhadap syarikat penerbangan adalah sesuatu yang kritikal pada masa ini. Kita tidak pernah menjangkakan industri ini akan mengalami impak sedemikian besar. Kita juga tiada pengalaman untuk membantunya bangkit semula. Keadaan akan menjadi sukar. Dari segi praktikalnya, kita memerlukan pelan luar jangka untuk tujuan lesen dan pensijlan yang mungkin telah tamat,” kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menggesa supaya bantuan dalam bentuk sokongan secara langsung disalurkan selain pinjaman, jaminan pembiayaan dan sokongan terhadap pasaran bon korporat serta pengecualian cukai.
Selain bantuan kewangan utama, industri itu juga perlu melakukan perancangan dan penyelarasan secara terperinci bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan benar-benar bersedia untuk beroperasi apabila COVID-19 itu dapat dikekang.
Industri juga perlu melaksanakan operasi dan proses bagi mengelak kemungkinan jangkitan semula virus itu menerusi kes yang diimport.
Industri perlu mengenal pasti pendekatan yang berkesan untuk menguruskan sekatan perjalanan yang perlu ditarik balik sebelum dapat menyambung semula kerja-kerja. Ini adalah antara beberapa cabaran utama yang menanti sektor penerbangan. Bagi memastikan kejayaannya, pihak industri dan kerajaan perlukan pelarasan dan saling bekerjsama.
Di peringkat global misalnya, kehidupan 65.5 juta orang bergantung dengan industri penerbangan, termasuk sektor seperti pengembaraan dan pelancongan dan daripada jumlah itu turut membabitkan 2.7 juta pekerjaan dalam syarikat penerbangan.
Menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung di Terengganu memasang pelita di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan sekitar kampung untuk menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.
Bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri di Terengganu tahun ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu: PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM8,000.
Dalam suasana Ramadan dan Aidilfitri kali ini agak ‘suram’ selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan wabak COVID-19. Wujudnya pertandingan ini sekurang-kurangnya akan menceriakan sesebuah keluarga di kawasan kejiranan agar lebih kreatif dalam ‘menghidupkan’ suasana malam yang suram dan memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat di negeri Terengganu dengan setiap penyertaan tertakluk kepada kreativiti peserta dalam menampilkan dekorasi pelita untuk menghiasi kediaman masing-masing.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto terbaik dan video terbaik itu akan bermula pada 18 Mei hingga 26 Mei ini sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang ‘wajib’ dikunjungi pada masa akan datang.
Bagi kategori video, peserta perlu memastikan klip yang dihantar tidak melebihi dua minit dan dibenarkan melakukan suntingan untuk menjadikan video mereka lebih menarik.
Bagi kategori foto, peserta perlu menghantar gambar suasana persediaan dan gambar pelita raya yang dibuat dengan minimum lima keping gambar termasuk swafoto berseorangan atau secara berkumpulan.
Penyertaan boleh dihantar melalui laman Facebook Beautiful Terengganu Malaysia dan mengikuti semua syarat yang telah ditetapkan.