Tahun ini, negara akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 tahun.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, jom melawat ke beberapa lokasi dan destinasi yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi kepada ketamadunan negara kita. Ia akan menyemarakkan lagi rasa sayang pada tanah air, lebih-lebih lagi buat generasi muda.
- Kota A Famosa
Kota itu merupakan kubu yang dibina oleh Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis mengerahkan buruh paksa membina sebuah kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sebelum membina kubu utama yang dikenali sebagai A Famosa. Kota A Famosa mengambil masa lebih kurang lima bulan untuk didirikan. Dek kerana kekurangan makanan dan suhu panas terik di negara kita, ramai buruh paksa yang mati ketika pembinaan kota tersebut. Bahan binaan yang digunakan untuk membina Kota A Famosa adalah terdiri daripada bahan yang diambil pada runtuhan masjid dan bangunan-bangunan yang ada di sekitarnya.
Pembinaan Kota A Famosa didirikan atas arahan Alfonso de Albuquerque – dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melayu Melaka pada masa itu sehingga memaksa Portugis membina sebuah kubu untuk mempertahankan diri mereka daripada serangan orang-orang Melayu Melaka. Kota itu mempunyai empat menara dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara yang ada di sekitar kota tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluarte de Las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo dan Baluerte de Santiago.
- Kota Belanda Pulau Pangkor
Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda itu asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung menyimpan bijih timah yang diperoleh dari Perak. Kota itu terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung iaitu sebuah perkampungan nelayan di sana.
Pembinaan Kota oleh Belanda itu mempunyai kaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada abad Ke-17. Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak dan berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah sehingga Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya menguasai dan memonopoli perdagangan bijih timah di Negeri Perak.
- Kompleks Sejarah Pasir Salak
Terletak lebih kurang 70 kilometer dari Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak didirikan untuk memberi penghormatan kepada pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela yang mengetuai penduduk tempatan menentang pentadbiran penjajah British pada ketika itu. Terdapat satu memorial didirikan khas untuk menghargai pengorbanan mereka dalam bentuk sundang atau pedang, dan juga satu replika berbentuk pisau yang digunakan untuk membunuh J.W.W Birch.
Tarikan lain yang terdapat di kompleks itu juga adalah monumen J.W.W Birch, kubur Sipuntum yang didakwa melakukan pembunuhan tersebut, kubu Datuk Maharaja Lela, meriam Lela Rentaka yang digunakan dalam usaha penentangan penjajah di zaman itu, dan dua Rumau Kutai, rumah tradisi orang Perak, yang dipenuhi dengan artifak sejarah dan kebudayaan tempatan negeri Perak.
- Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak berhadapan Dataran Merdeka menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor yang memerintah ketika itu dan dibina pada 1894. Kini, bangunan ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dan pernah suatu ketika dijadikan sebagai Mahkamah Agung.
Kubah tembaga yang berkilauan dan sebuah menara jam tinggi 40 meter menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa sejarah, di antaranya pengisytiharan kemerdekaan Malaysia (Malaya pada ketika itu) pada 31hb Ogos, 1957 dan juga penurunan Bendera Union Jack. Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi lokasi untuk peristiwa-peristiwa penting seperti Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan ketibaan Tahun Baru. Berhadapan bangunan ini letaknya Dataran Merdeka yang turut menjadi lokasi acara-acara utama negara. Di sini juga terdapat tiang bendera tertinggi di dunia setinggi 100 meter.
Reka bentuknya dihasilkan oleh Arthur Charles Alfred Norman, seorang arkitek Inggeris sekitar tahun 1893-1897. Beliau mendapat ilham daripada seni bina Taj Mahal yang membawa kepada konsep seni bina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad. Batu-bata yang berkualiti berwarna merah turut dibawa dari India. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter yang masih berfungsi sehingga kini. Ciri utama bangunan ini adalah pada ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked. Jika dilihat dari pandangan atas, keseluruhan bangunan ini berbentuk seperti huruf F.
- Muzium Perang Pulau Pinang
Muzium Perang Pulau Pinang terletak di atas Bukit Maung. Ia dibina untuk memperingati kompleks pertahanan asal yang dibina oleh British sebelum Perang Dunia II dimana ia menjadi kubu pertahanan semasa perang. Hari ini, ia menjadi kompleks sejarah yang mempamerkan kelengkapan perang dan garis masa sejarah perang dunia kedua yang terjadi di negara kita. Muzium perang itu ialah satu penghormatan terhadap dedikasi mereka yang pernah berkhidmat dan terkorban, mempertahankan negara tercinta ini.
Jika anda ke sini, cuba berpakaian cerah dan selesa, tidak pakai pakaian tebal, pakai kasut yang selesa, pakai topi, bawa teropong, semburan penghalau serangga, buku nota dan pen untuk mencatit perkara-perkara penting yang diterangkan kepada anda.
Sumber Foto: Google Image
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI