Nampaknya berita baik buat kaki travel apabila Malaysia Airlines sedang menawarkan tambang murah untuk sehala bagi kelas ekonomi ke semua destinasi domestik.
Bagi mereka yang ingin menghabiskan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina nanti bolehlah berbuat demikian dengan melayari website MAS.
Jualan tiket penerbangan itu akan bermula hari ini sehingga 17 Januari depan. Tempat duduk yang ditawarkan berkenaan pula adalah untuk tempoh perjalanan dari 4 Februari hingga 25 Februari.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pengguna Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, promosi berkenaan menawarkan harga berpatutan kepada penumpang, membolehkan mereka bertemu anggota keluarga pada musim perayaan akan datang yang juga cuti umum pertama bagi 2021.
“Pelanggan boleh menikmati tambang sehala serendah RM129 untuk penerbangan domestik di Semenanjung Malaysia dan RM169 serta RM189 untuk penerbangan ke dan dari Sarawak dan Sabah.
“Tambang murah ini tersedia untuk semua tempat duduk bagi penerbangan terpilih. Ia menawarkan nilai terbaik kepada pengembara yang mahu pulang bercuti atau bagi mereka yang berhasrat untuk percutian dalam waktu singkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Lau berkata, penumpang juga dapat menikmati pengalaman perjalanan kelas ekonomi yang lebih baik apabila mereka memilih tambang MH Flex Economy yang memberikan penumpang fleksibiliti akses perubahan tarikh, melakukan tempahan semula, elaun bagasi daftar masuk hingga 35kg dan pemilihan tempat duduk standard percuma serta perlindungan perjalanan asas.
MH Flex Economy juga menyediakan keistimewaan dengan membolehkan penumpang menaiki penerbangan lebih awal pada hari yang sama secara percuma dan faedah tambahan seperti perkhidmatan khusus untuk pendaftaran masuk, pengurusan bagasi dan pelepasan.
Katanya, pihaknya memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines mempunyai protokol keselamatan dan kebersihan yang ketat, termasuk kerja-kerja nyahkuman kerap dilakukan sepanjang perjalanan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk penumpang.
Sementara itu, bagi mereka yang mencari pakej penerbangan dan hotel, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, MHholidays, menawarkan pakej ‘Staycation’ di seluruh negara dengan potongan harga untuk penginapan hotel hingga 25 peratus untuk perjalanan sehingga 31 Julai.
Tempoh tempahan untuk tawaran Staycation mulai sekarang sehingga 10 Januari.
SUMBER: HARIAN METRO
Artikel Berkaitan: