Situasi bandar dan jalan yang kosong merupakan pemandangan biasa ketika ini di dunia apabila perintah berkurung dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19.
Haiwan dan binatang di dunia seakan mengerti apa yang berlaku ketika ini dan mengambil kesempatan untuk hidup dalam keadaan lebih bebas tanpa kehadiran manusisa.
Di Afrika Selatan, jalan raya yang sunyi dan lengang di sebuah taman negara menjadi ‘port lepak’ beberapa ekor singa berbaring dengan selesa di atas jalan raya. Kemungkinan, kumpulan singa ini mengambil tempat tersebut apabila lama tidak kelihatan pelancong yang datang.
Menurut portal CNN, foto daripada Taman Negara Kruger di Afrika Selatan memaparkan sekumpulan singa itu juga langsung tidak terganggu dengan kehadiran jurugambar.
Twitter rasmi Kruger National Park berkata, singa berkenaan biasanya tinggal di Taman Kontrak Kempiana, iaitu kawasan yang tidak dapat dilihat pelancong. Jurucakap taman tersebut, Isaac Phaahla berkata, singa berkenaan biasanya tidak akan baring di atas jalan kerana akan ada kereta yang melintas dan mereka akan berlari ke semak-samun.
Namun berbeza dengan keadaan ketika lockdown di Afrika Selatan, kumpulan singa ini kelihatan selesa berbaring di jalan tar luar Kem Orpen Rest. Mereka mungkin ingin menikmati tempat-tempat yang biasanya dipenuhi dengan pelancong.
Jurucakap taman negara itu turut berpesan kepada orang ramai agar berwaspada dengan kawasan tersebut kerana ia merupakan kawasan yang sangat liar dan hidupan liar akan lebih aktif tanpa kehadiran manusia.
Sumber: Sinar Harian