Sekumpulan Ikan Lumba-Lumba Muncul Di Tanjung Tuan Port Dickson

Share

Rakyat di Malaysia jarang berpeluang untuk melihat kelibat ikan lumba-lumba bermain-main di depan mata dek kerana spesies ini jarang berada diperairan negara kita. Jika ada pun tidak mudah untuk dilihat kecuali kita berada di tengah lautan.

Kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Port Dickson merupakan saat emas bagi orang ramai apabila berpeluang melihat sendiri aksi spesies marin itu, sekali gus merakamkan kejadian itu seperti yang tular di laman sosial.

Port Dickson merupakan destinasi pelancongan popular untuk aktiviti beriadah dan sukan air di Negeri Sembilan. Kehadiran sekumpulan ikan lumba-lumba tersebut di pantai peranginan tersebut di kawasan perairan Tanjung Tuan pastinya sesuatu yang sangat istimewa.

Foto: Pinterest

Rakaman berdurasi 43 saat itu, memaparkan aksi sekumpulan empat ekor ikan lumba-lumba berenang di perairan Tanjung Tuan dan ia dikongsi menerusi akaun Facebook ‘N9 INFO TRAFFIC’ serta mendapat ribuan ‘like’, ratusan ‘share’ dan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Fenomena itu adalah biasa bagi golongan nelayan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS). Ikan lumba-lumba spesies itu memang biasa dijumpai di perairan Malaysia dan adalah spesies mamalia marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

Kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan nelayan ketika berada di laut. Bagi nelayan kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah biasa diihat dan apabila orang awam ternampak buat pertama kali mungkin mereka agak terkejut dan teruja melihat ikan lumba-lumba di permukaan air. Kali terakhir ikan lumba-lumba itu dilihat di laluan kapal kargo di perairan Tanjung Tuan pada bulan Disember tahun lepas. Ikan-ikan lumba suka mengekori kapal sebab suka bermain alun di depan kapal.

Tidak dinafikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini memberi kesan baik terhadap alam sekitar. Ia menunjukkan dengan ketiadaan aktiviti perikanan rekreasi, aktiviti penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab, aktiviti rekreasi air di Port Dickson dan ketiadaan orang ramai maka hidupan marin itu yang selalunya berkeliaran jauh akan lebih berani menghampiri kawasan pantai.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berharap agar tiada pihak yang mengganggu haiwan berkenaan kerana ia merupakan haiwan marin yang dilindungi bersama paus, dugong, penyu, yu gergaji, yu sirip putih besar, yu tukul dan pari manta.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna