Travel

Sekarang Dah Ada Hotel Pet Friendly Di KL, Boleh Bawa ‘Si Bulus’ Staycation Sekali

Share

Wow, ada Hotel Pet Friendly Di KL! Jika merancang untuk bercuti di ibu kota pada masa yang sama mempunyai ‘si bulus’ dan risau untuk meninggalkannya, apa kata bawa sekali kucing kesayangan ini bercuti sekali.

Hotel Pet Friendly Di KL

Sekarang sudah ada hotel pet friendly di Kuala Lumpur yang membenarkan kucing menginap bersama tuannya.

Memahami keperluan pemilik kucing atau haiwan peliharaan Hotel Hyatt Place Kuala Kumpur baru-baru ini telah melancarkan polisi mesra haiwan sekali gus membenarkan pemilik dan haiwan peliharaan menginap dan menikmati percutian bebas stres.

Bennett Peter, Pengurus Besar hotel ini berkata sebagai pencinta haiwan beliau sendiri sangat teruja dengan dasar mesra haiwan peliharaan yang diperkenalkan.

“Saya sendiri mempunyai haiwan peliharaan iaitu kucing dan anjing jalanan yang diselamatkan. Saya sangat gembira dengan dasar ini dan berharap tetamu dan haiwan peliharaan mereka akan menikmat penginapan yang selesa,” ujarnya melalui wakil beliau dalam majlis pelancaran polisi mesra haiwan peliharaan di hotel tersebut.

Keluasan Bilik Yang Luas dan Selesa

Sementara itu pemilik kucing Johan Eskandar yang turut hadir dalam majlis berkenaan turut teruja dengan berita baik ini.

“Sebelum ini jika hendak travel kami terpaksa tinggalkan mereka di cat hotel tapi sekarang sudah ada hotel yang membolehkan pemilik dan kucing menginap sekali. Ia sesuatu yang melegakan kerana tak perlu berpisah dengan mereka,” ujarnya.

Selain mempunyai keluasan bilik penginapan yang luas dan selesa untuk menginap bersama haiwan peliharaan, hotel yang terletak di lokasi strategik Bukit Jalil ini juga berhampiran pusat membeli belah dan dengan kemudahan untuk kucing seperti klinik dan kedai menjual barang keperluan haiwan.

Banyak Kemudahan Berdekatan Situ

Hotel Hyatt Place juga berdekatan dengan Taman Rekreasi Bukit Jalil yang membolehkan pemilik dan haiwan kesayangan berjalan santai.

Dalam pada itu terdapat beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh pemilik yang mahu menginap bersama dengan haiwan peliharan di hotel ini. Antaranya anjing tidak dibenarkan, hanya 2 ekor haiwan yang dibenarkan menginap dalam satu bilik dan mestilah mempunyai berat kurang 9 kg setiap satu.

Haiwan juga haruslah sudah dilatih sebaiknya dan tidak dibenarkan berada di tempat awam hotel. Pemilik yang ingin membawa haiwan peliharaan menginap juga perlu menempah sekurang-kurangnya tiga hari sebelum.

 

 

Oleh
Rose