Daerah Sabak Bernam terletak di barat laut Negeri Selangor. Terdapat 3 pekan utama iaitu Sungai Besar, Sekinchan dan Sabak Bernam. Rata-rata masyarakat di Daerah ini terdiri dari kaum Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar dan Melayu Bugis.
Sabak Bernam menawarkan pemandangan sawah padi yang menghijau seluas pandangan yang menjadikannya unik dan tersendiri. Jadikan destinasi tersenarai di bawah sebagai pilihan untuk perjalanan seharian anda ke Daerah Sabak Bernam selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti – #ImagineNowExperienceSoon;
8:00 pagi – Sarapan pagi di Restoran Kuala Kurau, Sungai Besar
9:00 pagi – Pelajari cara pemprosesan padi di Paddy Gallery, Sekinchan
11:00 pagi – Lawati Muzium Daerah Sabak Bernam
12:00 tengahari – Singgah ke Ah Ma House, Sekinchan
1:00 petang – Makan tengahari di Restoran Lembah Bernam, Sekinchan
3:30 petang – Singgah ke Ladang Mangga, Sungai Limau
4:30 petang – Bersantai di Coconut Farms, Sekinchan
5:30 petang – Bersiar-siar di Pantai Redang, Sekinchan
7:00 malam – Makan malam di Restoran Mee Udang BNO, Sabak Bernam
Tidak tahu mahu sarapan di mana? Sekiranya anda bercuti ke Daerah Sabak Bernam, nikmati pagi anda dengan bersarapan di salah sebuah lokasi yang unik dimana terdapat banyak gerai di restoran ini. Restoran Kuala Kurau terletak di Sungai Besar ini sering menjadi pilihan penduduk tempatan. Restoran ini menyediakan pelbagai jenis juadah seperti Char Kuey Teow, Mee Kari, Cucur Udang dan banyak lagi! Pastikan anda mencuba Cucur Udang di sini kerana ia merupakan menu paling popular dan rasanya cukup enak!
Salah satu tarikan yang terdapat di Pekan Sekinchan ini adalah kilang memproses padi; Paddy Gallery. Ia juga merupakan satu-satunya kilang beras yang mengalu-alukan orang ramai untuk membuat lawatan ke sini. Eloklah anda singgah ke kilang ini untuk memahami dan melihat cara pemprosesan padi dengan teknik masa kini. Selain itu, jangan lupa untuk dapatkan Bertih Beras yang dimasak dan disediakan segar untuk para pelanggan. Ianya sangat enak, rangup dan sedap dimakan begitu sahaja!
Jangan lepaskan peluang untuk mempelajari sejarah warisan industri pertanian dan perikanan khususnya oleh masyarakat setempat di Daerah Sabak Bernam. Muzium Daerah Sabak Bernam mempamerkan tentang aktiviti penduduk awal di Daerah ini. Terdapat pelbagai arca, infografik, replika dan barangan tradisional yang digunakan dalam industry pertanian khususnya dalam sektor penanaman padi. Lawatan ke sini tentunya menyeronokkan, dan masuk adalah percuma!
Sudah selesai mempelajari sejarah pertanian dan perikanan, teruskan perjalanan anda ke Ah Ma House. Ianya adalah sebuah rumah kampung tradisional yang penuh dengan barang-barang antik seperti telefon, televisyen lama dan kerusi rotan yang membawa anda mengimbau masa lampau dan mengenang memori lalu. Selain itu, anda boleh melihat cara membuat kuih kapit secara langsung dan membelinya di sini kerana ianya sangat popular dan enak!
Setelah penat dan seronok melihat keindahan sawah padi, pasti perut pun terasa lapar. Jadi, jangan buang masa dan singgah ke salah sebuah restoran yang sangat popular dengan keunikan menunya iaitu Restoran Lembah Bernam. Restoran ini menawarkan seleksi makanan yang berkonsepkan eksotik dan susah didapati seperti masakan berasaskan daging landak, rusa dan kijang. Masakan di sini lebih kepada masakan ala kampung atau masakan Jawa; memang sesuai untuk dijadikan destinasi persinggahan untuk makan tengahari yang lazat.
Lokasi yang seterusnya ini pula sesuai disinggahi sekiranya anda seorang peminat mangga yang tegar! Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Pekan Sungai Besar. Ladang yang diusahakan oleh penduduk tempatan ini menawarkan buah mangga pelbagai saiz yang boleh dibeli dan dipetik segar dari ladang. Pokok mempelam yang ditanam di Mango Orchards menghasilkan buah yang manis dan sangat sedap dimakan! Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan rasa buah mangga di sini; pasti anda mahu membeli lebih untuk di bawa pulang!
Terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Pekan Sekinchan, ianya sesuai dijadikan lokasi untuk berehat sebentar untuk menikmati keenakan air kelapa segar. Bukan itu sahaja, anda juga boleh cuba “Coconut Shake” dan agar-agar kelapa yang dijual di sini. Sangat sesuai anda bersantai di bawah pokok kelapa pada hari yang membahang sambal menikmati air kelapa segar yang sedap. Terdapat juga ladang kelapa yang boleh dijadikan sebagai lokasi fotografi atau “OOTD” yang menarik di sini. Selain itu, anda juga boleh membeli biskut kelapa untuk di bawa pulang.
Destinasi ini harus anda singgahi untuk menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Pantai Redang ini terletak tidak jauh dari Pekan Sekinchan. Singgah sebentar ke sini untuk melihat keindahan dan keunikan pantai ini. Anda juga akan dapat melihat pokok-pokok besar di sini yang digantung dengan riben-riben berawarna merah yang dikenali sebagai “Sekinchan Wishing Trees”. Selain itu, terdapat gerai-gerai berdekatan yang menjual minuman dan makanan ringan.
Cara terbaik untuk tamatkan perjalanan seharian anda di Daerah Sabak Bernam adalah dengan menikmati salah satu juadah yang popular di sini iaitu Mee Bandung. Lepas penat bersiar-siar di Pantai Redang, singgah ke Restoran Mee Bandung BNO untuk rasai keenakan Mee Udang, penuh dengan rasa kemanisan udang segar yang mampu meningkatkan lagi selera anda. Harganya amat berpatutan dan anda harus mencuba menu ini sekiranya anda datang ke Pekan Sekinchan!
Semoga tempat-tempat menarik yang tertera menjadi pilihan bermanfaat buat anda untuk perjalanan seharian anda ke Daerah Sabak Bernam kelak. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keunikan dan keindahan Daerah ini; anda pasti akan terpegun dengan pemandangannya terutama sekali lapangan sawah padi yang terbentang luas menghijau. Bawa bersama keluarga anda mahupun sahabat handai untuk merasai pengalaman ini kelak selepas tamat tempoh PKP dan mulakan perancangan anda sekarang; #ImagineNowExperienceSoon
Adalah diingatka, ialah adalah tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa, menggunakan pembasmi kuman secara kerap serta mendaftar masuk ke premis-premis di Negeri Selangor dengan menggunakan aplikasi “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel
Kredit: Farhana Ain Goldah & Siti Norfadila Ab Wahab dari Selangor Travel