Chef selebriti dari Turki, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Chef Salt Bae menjadi trending di Internet selepas caranya menabur garam ke atas daging stik menjadi viral.
Chef Salt Bae yang kini berusia 36 tahun membuka restoran pertamanya pada tahun 2010 dan kini memiliki lima buah restoran hidangan stik di Turki dan Dubai, juga dua buah restoran burger. Kini Nusret bakal membuka satu lagi cawangan restorannya di London dan Midtown bernama Nusr-et.
Terbaru, sebuah restorannya di Dubai telah menawarkan satu hidangan baru iaitu stik yang disadur daun emas 24 karat pada harga 1,250 dirham (RM1,430). Namun, pelanggan masih boleh memilih pilihan menu stik yang biasa tanpa saduran emas dengan harga paling rendah 340 dirham (RM390).
Seorang pelanggan yang telah memesan stik emas tersebut menyatakan ia adalah stik terbaik yang pernah dirasainya, namun tidak pasti sama ada saduran emas itu memberi kesan terhadap rasa hidangan berkenaan.
Sebuah video yang tular ada menunjukkan aksi Chef Salt Bae sedang menghidangkan daging stik bersadur emas kepada pelanggannya. Daging dipotong dan dimasak di meja pelanggan dan dia seakan-akan melakukan pertunjukan pantomim secara langsung. Ia bermula dengan satu ketulan emas dibawa ke meja dan pertunjukan itu tamat apabila cef menabur garam daripada tangannya sebelum dia menikam pisau di atas meja.
Menurut Chef Salt Bae, Emas 24 karat boleh dimakan manusia kerana emas tulen tidak menimbulkan tindak balas kimia dan material berharga yang dimakan itu akan dicerna oleh sistem pencernaan tanpa diserap ke dalam badan.
Ramai beranggapan Chef Salt Bae sangat genius dan mempunyai ‘kimia’ yang baik dengan kerjayanya sebagai seorang yang sangat sukakan menu daging.
Chef Salt Bae membesar di pinggir kota di Darica, Istanbul. Bapanya adalah penggali terowong dan dia bekerja sebagai pemotong daging dan tukang masak di sektor buruh dan pembinaan sejak berumur 14 tahun. Dilahirkan dalam keluarga susah, Chef Salt Bae tidak berpeluang ke sekolah namun dia berazam untuk mengangkat dirinya menjadi seorang yang berjaya. Dia telah mengembara ke Argentina dan New York sambil belajar kraf termasuk ukiran peralatan muzik sehingga menjadi terkenal dan kaya-raya.
Sumber: Dailymail