Pura Tanjung Sabtu pernah menjadi tarikan pelancong untuk datang ke Kampung Tanjung Sabtu dekat Jeram Manir sebelum ini. Lokasi yang berada lebih kurang 14 kilometer dari Bandar raya Kuala Terengganu pernah dijadikan sebagai penginapan ‘Royal Homestay’ kepada pengunjung untuk merasai kehidupan di desa yang bercirikan Melayu Tradisional.
Pura Tanjung Sabtu telah mendapat nama hasil daripada gabungan perkataan sanskrit ‘Pura’ yang membawa maksud istana, kuil atau bandar sementara ‘Tanjung Sabtu’ adalah sebuah nama desa di mana Pura Tanjung Sabtu ini telah dibina dengan gaya orang bangsawan istana Terengganu.
Binaan ini merupakan gabungan sebahagian istana lama dan 6 buah rumah Melayu tradisional Terengganu yang berusia antara 100 hingga 200 tahun. Sumber rumah asal Pura Tanjung Sabtu diambil dari Kampung Atas Tol, Kampung Seberang Baruh, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Nesan Empat dalam daerah Kuala Terengganu manakala istana di ambil dari Kampung Dalam Kota (belakang Istana Maziah).
Binaan-binaan ini kemudian disambung antara rumah ke rumah menggunakan selasar sebagai laluan dan membentuk sebuah istana yang unik. Rumah ini mempunyai tiang-tiang yang tinggi berukuran 10 kaki.
Pemilik asal Pura Tanjung Sabtu adalah Allahyarham Tengku Ismail Tengku Su. Idea membina dan menjaga rumah tersebut dilakukannya sendiri sebelum beliau meninggal dunia.
Namun Pura Tanjung Sabtu yang berlatar belakang abad ke-19 itu sudah dipenuhi dengan semak samun dan tidak dijaga sebagaimana biasa sejak beberapa tahun lalu. Tiada sebarang waris mengambil alih untuk memelihara Pura Tanjung Sabtu.
Tetapi baru-baru ini lokasi ini telah mendapat perhatian kembali dan ada ura-ura kemungkinan Pura Tanjung Sabtu akan dijadikan Muzium Songket ataupun Madrasah. Masih belum pasti apa kata putus yang akan dilakukan terhadap warisan ini.
Sumber: FB Warisan Pahlawan Melayu