Sebut sahaja pasal bercuti di Sabah, pasti kebanyakkan kita akan cadangkan percutian di kawasan pulau, kan? Ada banyak pulau yang viral di Sabah malah ada diantaranya yang mendapat tempat dalam ranking antarabangsa. Bukan sahaja pulau, seluruh lokasi di Sabah ada keistimewaan tersendiri.
Dah ada merancang ke mana-mana ketika PKPP ini? Kalau belum, jom rancang percutian anda ke Sabah segera sebelum destinasi ini kembali meriah dengan kehadiran pelancong antarabangsa. Ini kerana kerajaan negeri Sabah menyasarkan untuk membuka semula pintu kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 Sept tahun ini, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.
Pembukaan semula itu akan dilakukan dengan melihat kepada keadaan semasa pandemik COVID-19 dan juga nasihat daripada Kementerian Kesihatan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata agensi di bawah kementeriannya, terutama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) selalu mengikuti maklumat berkaitan perkara itu dari negara lain.
Sementara itu, mengenai pelancong dari China, yang menyumbang kedatangan pelancong paling ramai ke Sabah sebelum sekatan akibat pandemik global COVID-19, Datuk Christina Liew berkata satu pertemuan akan diadakan bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide mengenai perkara itu. Menurut beliau, bukan semua kawasan di China terjejas dengan COVID-19 dan pertemuan itu akan membincangkan, antara lain mengenai bagaimana mempercepat kedatangan pelancong dari kawasan berkenaan. Untuk rekod, dari Januari hingga November tahun lepas, STB merekodkan 3.766 juta kedatangan pelancong dengan kebanyakannya dari China.
Sumber: Bernama