Rusa ‘Takluk’ Taman Nara Kyota, Sakan Santai Bawah Pohon Sakura Tanpa Kehadiran Pelancong

Share

Keindahan Taman Nara dihiasi tanaman bunga sakura dikagumi orang ramai hingga menjadi bualan hangat netizen. Taman Nara merupakan antara taman yang tertua di Jepun dengan usianya hampir 139 tahun.

Foto: byond.travel

Taman itu ditutup kerana wabak COVID-19 dan hasilnya, taman tersebut yang biasanya dilihat dikunjungi ramai pelancong kini sepi dan ‘dikuasai’ oleh sejumlah rusa berjemur tanpa gangguan manusia, malah cukup cantik dihiasi pokok sakura berwarna merah jambu. Rusa yang terdapat di sini menurut warga Jepun pada suatu masa dulu adalah haiwan yang suci.

Taman Nara sebelum ini dibanjiri pelancong yang suka bergaul mesra dengan rusa sambil memberi makanan snek Shika-Senbei. Taman Nara, sebelum ini pernah tular dengan kematian beberapa ekor rusa selepas termakan beg plastik kepunyaan pengunjung. Aktivis hidupan liar menyalahkan trend pelancongan yang tidak terkawal sebelum ini.

Yayasan Pemuliharaan Rusa Nara berkata bahawa gumpalan beg plastik dan bungkusan snek ditemui dalam perut bangkai rusa yang dibedah siasat. Kematian rusa di taman hidupan liar popular itu direkodkan antara Mac dan Jun tahun lalu. Sampah terbesar yang ditemui dalam perut salah seekor rusa itu adalah seberat 4.3 kilogram.

Taman rusa itu mempunyai lebih daripada 1,000 ekor rusa, yang dibiarkan bebas berkeliaran di jalanan dan sering mendekati para pelancong yang menawarkan biskut khas untuk haiwan itu. Para pelancong dilarang memberi makanan selain daripada biskut yang disediakan, namun sebelum ini masih ada sesetengah pelancong yang memberikan makanan berlainan sesuka hati.

Ekoran kawasan taman telah ditutup, menjadikan taman Nara indah diliputi bunga sakura yang gugur, menghasilkan pemandangan luar biasa ketika rusa berkeliaran. Ketiadaan pelancong dan pengunjung juga seakan satu ‘keseronokkan’ buat rusa-rusa ini boleh bersantai sesuka hati.

Agensi pelancongan Jepun, HiQ Jepun, berkongsi video di laman Facebook mereka, menunjukkan beberapa ekor rusa menikmati keindahan secara bersantai di taman sakura! Video ditonton lebih 131,000 tontonan itu memberi satu perasaan indah dan damai apabila melihat rusa bersantai tanpa kehadiran manusia.


 Sumber: mothership.sg | Sinar Harian

Oleh
Husna