‘Orang Melayu Dulu Genius!’ Rumah Tradisional Melayu Diiktiraf Dunia.

Share

Rumah tradisional melayu masih menjadi ‘trend’ dan pilihan ramai untuk mendiaminya meskipun kelihatan ‘kekampungan’. Ada yang sanggup melabur ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki bahagian rumah ala rumah ‘lama’. Ketika cuaca panas, percayalah individu yang menetap di dalam rumah tradisional ini akan berasa sejuk dan redup sahaja. Itu adalah kelebihan yang dimiliki rumah jenis tradisional ini.

Rumah tradisional melayu merupakan antara senibina terawal yang didirikan di Gugusan Kepulauan Nusantara. Sehingga kini jejak rumah-rumah tradisional ini masih dapat dilihat secara fizikal ataupun yang telah menjadi sebahagian artifak sejarah. Kesenian rumah-rumah tradisional ini adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap pecahan etnik melayu yang terdapat di gugusan kepulauan ini.

Bangga atau tidak jika dikatakan rumah tradisional melayu telah dinobatkan antara rumah yang mempunyai seni bina terbaik di dunia? Seorang pengguna Facebook telah kongsikan entrinya mengenai betapa genius orang melayu dahulu membina rumah!


Saya rasa orang Melayu dulu cukup genius. Bahkan, pensyarah saya pun cakap Rumah Melayu dinobatkan antara architecture terbaik di dunia. Wow kan? Jadi, disebabkan saya sangat suka dengan Rumah Melayu, izikan saya berkongsi sedikit ilmu. Kalau ada yang kurang, mohon tambah ya.

LALUAN ANGIN

Perasan tak, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ni sejuk saja. Nak-nak lagi pada waktu tengah malam, pehhh kalah rumah berhawa dingin. Merekot kesejukan kalau tak ada selimut.

Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin.

Kenapa?

Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah.

PINTU MASUK LELAKI LAIN, PEREMPUAN LAIN

Ni pandangan dari sisi rumah. Laluan masuk bagi orang perempuan. Rumah dah kembali sepi selepas raya.

Masa saya kecil-kecil dulu, bila ikut Mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Saya jadi pelik. Macam tak adillah, sebab ayah masuk ikut pintu depan.

Rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri.

Sebab itu ada 2 pintu. Biasanya ruang anjung atau serambi, ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pula bersosial sebelah dalam rumah; bahagian dapur atau rumah ibu. Rumah ibu ni biasanya bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau tengok cerita drama, biasanya mak-mak terlantar sakit di ruang rumah ibu inilah.

Ini contoh Rumah Limas, rumah pusaka Mak saya di Melaka. Kalau nampak ada tanduk di bumbung, itu namanya tunjuk langit. Laluan masuk ke anjung bagi kaum lelaki ketika kenduri. Kalau tetamu datang, masuk ikut sini.

Dari bahagian tepi rumah.

RUMAH TINGGI

Pernah terfikir tak kenapa rumah kampung ni tinggi? Ada banyak faktor sebenarnya.

Rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dulu, orang lalu celah-celah rumah kalau nak ke kedai atau surau. Cuba bayangkan kalau kita tak dapat kawal mata, mau kita skodeng rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi.

Selain itu, nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir. Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.

Dua tingkap sebelah kanan, itu laluan ke rumah ibu (biasanya kawasan famili lepak, santai-santai). Kalau bising-bising, tak adalah ganggu tetamu di anjung.

Laluan antara anjung ke rumah ibu, sebelah kanan adalah bilik (tak masuk gambar).

Anjung rumah nenek saya ni memanjang.

Anjung rumah nenek saya ni memanjang.

Nampak tangga sebelah kanan? Itu laluan dari anjung tadi. Inilah ruang rumah ibu. Nampak tiang tu? Itu namanya tiang seri.

Cara selak pintu rumah lama. Dulu tak ada grill.

KIBLAT LURUS

Nampak? Kiblatnya lurus.

Bila saya balik kampung Mak atau Ayah, nak cari kiblat cukup mudah. Bentang saja sejadah, tegak dan lurus.

Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.

Orang dahulu, bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud.

Ini sajalah yang saya boleh share. Jenuh jugalah nak ingat kembali apa yang saya study dulu. Dengan harapan, dah tua nanti merasa duduk kampung ada kebun. Manalah tahu kan.

Sumber: FB Nazia Suhaimi

Oleh
Husna