Rumah Tengah Laut & Tiada Elektrik, Kehidupan Bajau Laut Sabah Dicemburui

Share

Menjejakkan kaki ke daerah Sipadan tidak kira berapa ratus kali sekalipun tidak langsung menjemukan. Selain tujuan utama untuk bercuti di pulau-pulau indah atau melakukan aktiviti selaman dasar laut di kawasan ini, ada lagi beberapa perkara menarik yang perlu pengunjung singgah. Antaranya melawat penduduk asal suku kaum di sini iaitu masyarakat Bajau Laut.

Mampu atau tidak masyarakat moden hari ini untuk melalui kehidupan sebegini. Berkeluarga di kawasan laut yang luas dan menginap di dalam sebuah rumah yang kecil dan daif tanpa sebarang keperluan asas yang lengkap?

Sesiapa sahaja akan tertarik untuk mengetahui lebih mendalam gaya kehidupan orang Bajau Laut ini, selain hanya melihat melalui portal atau akhbar. Kehidupan yang serba kekurangan, tanpa sebarang bekalan elektrik atau bekalan air bersih namun ada senyuman disebalik setiap bibir mereka. Pada siang hari, cahaya matahari terik menemani mereka namun pada malam hari hanya bintang dilangit atau cahaya pelita setia menerangi saban waktu.

Hidup dalam serba kekurangan tetapi ramai yang iri hati kerana kehidupan mereka jauh dari tekanan kota, bebas hutang dan pencemaran alam sekitar.

Sumber Foto: Hak Milik Libur 

Sejak bertahun-tahun sehingga kini, suku kaum Bajau Laut tinggal di dalam bot beralaskan lautan (lepa) atau pondok kecil yang tinggi diperbuat daripada kayu atas terumbu karang. Kehidupan mereka bergantung kepada sumber laut semata-mata dengan menangkap ikan, mengutip kupang dan kerang selain memungut mutiara di pulau-pulau terpencil.

Sumber Foto: Hak Milik Libur 

Terdapat kira-kira 15 buah rumah di setiap pulau dengan majoriti penduduknya sekitar 100 penghuni yang terdiri daripada warga emas, orang dewasa, remaja, kanak-kanak dan bayi.

Sumber Foto: Hak Milik Libur 

Suku kaum Bajau Laut terikat dengan laut dan jarang sekali mereka menjejakkan kaki ke daratan. Ada sumber yang mengatakan jika mereka berada di daratan beberapa hari mereka akan ‘mabuk darat’. Jadi mereka hanya akan turun ke darat atas urusan menjual hasil tangkapan, mendapatkan bekalan air bersih dan sumber kayu sahaja sebelum terus pulang ke penempatan asal di laut.

Sumber Foto: Hak Milik Libur 

Bajau laut adalah penyelam yang luar biasa dan hampir kesemua mereka memang dapat menguasai seni menyelam sehingga jauh ke perut laut sambil menahan nafas selama yang mungkin. Ini penting demi menyara keluarga dengan menangkap ikan, udang kara, timun laut dan hidupan laut yang lain.

Sumber Foto: Hak Milik Libur –

Selain bahasa dialek daerah itu, kebanyakan daripada mereka boleh bertutur bahasa Melayu dan ada juga boleh berbahasa Inggeris dengan kefasihan yang biasa. Ini dilakukan demi menjual hasil laut kepada pelancong. Anak-anak kecil juga dilihat ada yang menghafal beberapa baris ayat atau perkataan atau hanya menyebut beberapa perkataan mudah untuk berkomunikasi atau tawar-menawar dengan pelancong.

Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv

Jika berkunjung ke Pulau Tatangan untuk melihat dengan dekat kehidupan suku kaum Bajau Laut ini, keadaan agak sedikit mencabar kerana penghuninya sedikit agresif. Melihat sahaja bot pelancong menghampiri penempatan mereka, kelihatan kayak dan perahu didayung dengan laju ke arah mereka.

Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv 

Ramai pelancong dan pengujung dilihat sedikit gementar dan terkejut apabila masyarakat bajau laut di sini seolah-olah mengepung bot untuk mendapatkan apa yang dibawa. Ada juga yang terus merampas apa sahaja barang yang ingin diagihkan tanpa memperdulikan permintaan baik si pemberi.

Oleh itu, ada sedikit tip untuk anda agar tidak menunjukkan kesemua makanan atau barang yang ingin diberikan kepada mereka untuk elakkan perebutan yang ‘maha dasyat’. Jaga barang-barang peribadi anda dengan baik agar tidak direntap sesuka hati.

Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv 

Berbeza dengan penduduk Bajau Laut di Pulau Mantabuan atau Pulau Sibuan, kehadiran pelancong lebih selesa apabila berpeluang mendekati mereka dengan lebih selesa untuk bertanya khabar. Penduduknya juga sangat peramah, walau tidak mampu berkomunikasi dengan baik. Ada juga penduduk bajau laut yang bijak mengambil peluang dengan membuka kedai menjual jajan dan minuman kepada pelancong yang singgah ke perkampungan mereka.

Selain daripada senarai yang dinyatakan, ada beberapa lagi lagi perkampungan dan penempatan Bajau Laut disekitar ini yang meneruskan kehidupan seharian dengan aman dan damai bersama komuniti mereka. Antaranya perkampungan suku kaum Bajau di Pulau Mabul.

Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv | 

Namun jauh di sudut hati, penulis sayu dan sedikit sedih melihat kehidupan komuniti ini. Dari sekecil-kecil anak, remaja, golongan ibu hingga ke warga emas masih mengamalkan amalan ‘meminta-minta’ untuk mendapatkan duit dan pelbagai alasan diberikan antaranya lapar. Tidak tahulah sejauh kebenarannya. Tetapi di depan mata penulis sendiri sewaktu bot berhenti di satu pulau yang didiami suku kaum bajau, terdapat sekumpulan anak kecil sedang menghabiskan sisa-sisa makanan pelancong di tepi bot-bot yang sedang tersusun. Habis segala makanan dalam periuk dikikis hingga licin sewaktu mendapat peluang tersebut.

Pastikan sebelum melawat suku kaum bajau laut ini, pengunjung membawa sedikit buah tangan untuk mereka seperti gula-gula, jajan, buah-buahan, pakaian, kain selimut atau alat solekan. Mereka pasti menghargai pemberian kecil anda ini.

Terima kasih Tourism Malaysia

Oleh
Husna