Sempena menghayati bulan kemerdekaan pada tahun ini, apa kata kita bersama-sama cuba mengenang kembali jasa, pengorbanan para tokoh dan pejuang kita dengan mengunjungi mana-mana destinasi bersejarah.
Anda tahu siapa Bapa Kemerdekaan? Jom berkunjung ke Rumah Merdeka bertempat di Alor Setar, Kedah.
Sebelum negara mencapai kemerdekaan, pelbagai rundingan untuk keluar daripada cengkaman penjajah berlangsung di beberapa lokasi termasuk Rumah Merdeka di Jalan Tunku Abdul Rahman Putra. Sebagai anak gahara atau anak berketurunan diraja berasal dari Kedah, Tunku Abdul Rahman sering pulang ke negeri ini dan menginap di Rumah Merdeka dan dikatakan ia menjadi 'markas' almarhum untuk mencari ilham menyudahkan penulisannya, di samping memikirkan jalan untuk mencapai kemerdekaan.
Rumah yang asalnya milik bonda almarhum, iaitu Che Manjalara sebelum dihadiahkan kepada Bapa Kemerdekaan itu, sering menjadi tempat untuk para pemimpin merancang pelbagai strategi politik. Perbincangan tentang dasar kerajaan dikatakan untuk memenangi pilihan raya persekutuan yang pertama pada Julai 1955 juga pernah diadakan di Rumah Merdeka.
Kini Rumah Merdeka, kediaman dua tingkat itu diambil alih oleh pihak Arkib Negara pada 2003 dan sejak itu, jabatan ini sedaya upaya berusaha untuk membaik pulih dan memulihara struktur bangunan bersejarah itu. Pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai barang peribadi milik kepunyaan Tunku Abdul Rahman.
Sumber: Bernama