Negara kita mempunyai banyak lokasi alam semulajadi yang menarik untuk diteroka.
Bagi anda suka akan kedamaian dan alam hijau yang tenang, 5 lokasi ini wajib singgah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda.
Anda tidak harus melepaskan peluang untuk menghirup udara segar yang masih belum tercemar di Bukit Larut atau dikenali juga dengan nama Maxwell Hill yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Taiping. Ambil peluang untuk bersiar-siar sambil melihat pemandangan indah bandar Taiping hingga ke laut Selat Melaka dari ketinggian 1250 meter dari paras laut. Pemandangan di waktu malam dari atas Bukit Larut tidak sama dengan pemandangan di waktu siang.
Pada waktu malam cahaya lampu rumah, kilang, jalan raya dan kedai menerangi bandar Taiping. Jika di waktu siang suhunya di antara 15 hingga 25 darjah celsius berbeza pula di waktu malam, kedinginan semakin terasa dan suhunya boleh mencecah sehingga 10 darjah celsius ditambah pula dengan fenomena hujan bukit yang hampir setiap hari berlaku.
Bario merupakan lokasi tanah tinggi yang mesti dilawati kerana ia bukan saja sejuk tetapi mempunyai pemandangan yang indah memukau. Terletak di pedalaman Sarawak, bario bermaksud angin mengikut bahasa etnik Kelabit. Tanah tinggi Bario berketinggian 1150 meter dari aras laut ini mempunyai kualiti udara yang sangat bersih kerana kedudukannya berhampiran Gunung Murud, gunung tertinggi di Sarawak. Kesejukan tanah tinggi Bario ini pernah mencecah 11 darjah celsius sehinggakan pengunjung terpaksa mengenakan selimut yang tebal pada waktu malam. Jika anda mahu garam bukit dan padi yang paling berkualiti di Malaysia serta bebas bahan kimia, di sinilah tempatnya.
Ba’Kelalan pula berdekatan dengan Bario ini merupakan penempatan bagi kaum Lun Bawang. Ba’Kelalan iaitu “Ba” bermaksud padi manakala Kelalan pula adalah nama sebatang sungai mempunyai beberapa kampung. Jangan tidak percaya, kawasan ini terkenal dengan penanaman buah epal. Jika anda berkunjung ke sini, aktiviti kebudayaan menanti anda. Epal Ba’Kelalan yang lebih dikenali sebagai epal Manalagi di Jawa Timur didapati mampu hidup subur di kawasan Ba’Kelalan yang suhunya sekitar 20 darjah celsius.
Terletak di Kuantan, Air Terjun Sungai Pandan juga dikenali sebagai atau Air Terjun Panching oleh penduduk setempat merupakan destinasi beriadah popular. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada Hutan Lipur Pandan. Lokasi ini menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, mandi manda atau bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan.
Jika dilihat pada air terjun yang mengalir, pasti membuatkan ramai terpesona. Mana tidaknya, landskap air terjun yang terbentuk di sini begitu cantik dan unik. Terdapat sebuah jambatan gantung merentasi sungai di air terjun ini yang sesuai menjadi lokasi untuk merakam kenangan. Jika anda bercadang untuk datang berlibur dan bersantai di Air Terjun Sungai Pandan ini pada hujung minggu atau cuti umum, pastikan anda datang lebih awal untuk ‘dapatkan’ port tempat berkelah menarik berlatarbelakangkan air terjun ini.
Bukit Piniapat, Pitas Sabah
Jika anda peminat aktiviti mendaki, bukit ini pasti menjanjikan kepuasan tersendiri. Dengan pandangan menghadap laut, Bukit Piniapat atau lebih dikenali dengan nama Piniapat Hills terletak di Kampung Dingai, Pitas, Sabah.
Untuk tiba ke kawasan bukit yang cantik itu, anda peru melalui beberapa trekking terlebih dahulu yang terletak lebih kurang 100 meter dari pondok jualan tiket. Keadaan trek agak curam dan licin, namun laluan tersebut selesa digunakan kerana mempunyai ruang jarak yang luas. Selain itu kemudahan tali dan papan tanda juga disediakan sebagai panduan arah.
Gunung Jerai merupakan salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi Kedah yang merupakan lokasi menyegarkan. Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak menggunakan kenderaan. Di sini juga tersedia kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni.
Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.