Rindu Nak Berlibur! Taman Tema Di Malaysia Dijangka Terima Ramai Pengunjung Jika Kembali Beroperasi

Share

Ramai dah mula rindu untuk berlibur dan bersantai di taman-taman tema yang ada diseluruh Malaysia setelah hampir tiga bulan operasi di destinasi tersebut ditutup buat sementara waktu.

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia menjangka taman tema di Malaysia akan kembali meriah apabila dibuka semula setelah terdapat permintaan tinggi daripada orang ramai untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut.




Sebagai contoh, pembukaan semula Taman Tema Disneyland Shanghai berjaya menarik sehingga 5,000 pengunjung setiap hari, serta pembukaan taman tema berkenaan di Hong Kong pada 18 Jun. Tarikan lain di Malaysia pula, seperti Bukit Bendera, telah berjaya menarik ramai pengunjung sejak dibuka semula.


Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia Tan Sri Richard Koh berkata rakyat Malaysia pastinya ingin keluar dan menikmati alam sekitar, terutama setelah tinggal di rumah selama berbulan-bulan mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak COVID-19.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan akan membenarkan pembukaan semula semua taman tema dan tarikan di seluruh negara tidak lama lagi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya.


Di Pulau Pinang sebuah taman tema di Teluk Bahang dibenarkan beroperasi semula. Hanya tarikan bertema alam di taman itu, "AdventurePlay" yang dibuka manakala "Waterplay", tarikan berasaskan air yang merangkumi gelongsor air terpanjang di dunia, masih ditutup untuk umum. Pembukaan semula taman tema itu dengan syarat mematuhi SOP, termasuk memberi sarung tangan kepada pengunjung, melakukan penjarakan sosial dan menyah kuman semua kemudahan taman tema. Jumlah pengunjung juga dihadkan kepada hanya 1,000 sehari (berbanding kira-kira 3,000 setiap hari sebelum PKP.


Sunway Lagoon juga telah mula beroperasi tetapi hanya tarikan 'Zoo' taman haiwannya sahaja yang dibuka kepada pengunjung. Taman tema air yang lain masih ditutup hingga kerajaan kembali memberi kebenaran untuk beroperasi.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna