Hati meronta-ronta untuk menjejakkan kaki di taman tema hiburan antarabangsa? Kenapa tidak memilih untuk cuti-cuti Malaysia sahaja?
Mungkin ada yang sudah membuat perancangan melancong sambil berhibur di taman tema terkenal dunia sejak sekian lama terpaksa dibatalkan memandangkan situasi membahayakan kesihatan di majoriti negara seluruh dunia yang mengambil langkah menyekat pintu masuk masing-masing.
Penularan pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar dalam setiap langkah kehidupan manusia tahun ini. Kesimpulannya, tahun ini bukanlah tempoh yang sesuai untuk anda merancang pergi melancong ke luar negara. Tetapi itu bukan alasan menyekat keinginan anda untuk berseronok di taman tema.
Jika tidak tahu destinasi mana yang hendak dituju, apa kata singgah ke Taman Tema Skytropolis Funland, Genting Highlands, Pahang yang sudah dibuka kepada orang awam baru-baru ini selepas hampir beberapa bulan dihentikan sementara operasinya ketika PKP.
Dengan keluasan lebih 3.72 hektar, taman tema itu pastinya akan menceriakan orang ramai apabila lebih daripada 20 permainan mencabar yang sangat mesra dengan pengguna tersedia. Untuk memastikan kelancaran dan mengelak sentuhan sesama pengunjung, orang ramai digalakkan membeli tiket online. Pengunjung juga akan menjalani pemeriksaan suhu sebelum memasuki taman tema, suhu melebihi 37.5 darjah Celsius ke atas tak akan dibenarkan masuk, sebaliknya akan dibawa ke ruang menunggu untuk mendapatkan bantuan perubatan. Selain itu, peraturan yang ditetapkan kerajaan sentiasa dipatuhi seperti penjarakkan sosial, memakai cecair pembasmi kuman dan pelitup sepanjang berada di sini.
Antara permainan menghiburkan yang menarik seperti The Void, Imaginatrix dan BigTop Games Park. Jangan lepaskan peluang mencuba teknologi realiti maya (VR) yang sangat canggih iaitu di Teater XD, VirtuGlobe, RoboCoaster, VORTEX dan SkyGlider VR.