Kejadian ribut debu didorong oleh angin kencang yang membawa tanah kering sering melanda Australia dengan menghamburkan debu membadai kawasan sekitar sehingga menjadikan langit bertukar jingga dan jarak penglihatan sangat buruk.
Penduduk tempatan disarankan supaya kekal berada di dalam rumah jika fenomena ini berlaku, terutamanya kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mengalami masalah pernafasan. Kejadian itu juga boleh menyebabkan beratus-ratus orang yang mengalami kesukaran bernafas, dan memaksa pembatalan penerbangan.
Rabu lalu, ribut debu yang biasanya berlaku ketika musim panas melanda sebuah bandar kecil di barat laut Victoria di Australia telah menukar keadaan sekitarnya menjadi malam.
Ribut merah yang turut membawa angin kencang itu berjaya dirakamkan Biro Meteorologi (BOM) ketika ia melepasi Lapangan Terbang Mildura pada jam 5 petang (waktu tempatan). Tahap penglihatan dilaporkan juga merosot ketika kejadian itu.
Ia adalah ribut debu terburuk pernah berlaku di Mildura dalam tempoh 40 tahun. Ia adalah fenomena kitaran yang biasa berlaku ketika musim panas dan kering yang membawa angin dan debu melebihi 30 kilometer sejam dari barat ke timur.
Orang awam yang menyaksikan fenomena tersebut, Lisa Guarnaccia berkata dia sedang memandu ke Mildura ketika fenomena tersebut terjadi secara tiba-tiba.
“Saya dapat melihat langit berubah warna secara tiba-tiba dan cuaca agak berangin. Langit siang terus menjadi gelap dan jarak penglihatan hilang, hanya beberapa ratus meter sahaja nampak. Fenomena itu sangat menakutkan saya,” katanya.
Walau bagaimanapun, difahamkan, langit kembali cerah kira-kira 20 minit kemudian. Sementara itu, peramal cuaca kanan BOM, Dean Stewart memaklumkan keadaan cuaca itu adalah agak luar biasa pada tahun ini.
Sumber: The Guardian | Sinar Harian