Pengguna rangkaian lebuh raya sistem tertutup kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) disaran sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go yang digunakan mencukupi untuk transaksi tol bagi mengelak gangguan terhadap kelancaran perjalanan pengguna lain di lorong tol.
Menjelang pelaksanaan transaksi tol menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di semua lebuh rayanya tidak lama lagi, tiada lagi kakitangan PLUS akan ditempatkan di pondok tol untuk menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go buat semua pengguna.
Langkah untuk tidak lagi menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go bertujuan membiasakan pengguna dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) serta RFID dan selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap keselesaan di plaza tol.
RFID yang sepatutnya dilancarkan pada 1 April lalu di semua plaza tol lebuh raya sistem tertutup PLUS dijangka dapat mengatasi masalah pengguna kekurangan baki untuk melengkapkan transaksi tol. Namun begitu, susulan PKP, pelaksanaan RFID terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang lain pada tahun ini.
Oleh itu PLUS berharap semua pengguna sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peralihan teknologi transaksi pembayaran tol menggunakan RFID yang bertujuan memastikan kelancaran trafik di pintu masuk serta pintu keluar (plaza tol).
Ketika ini di sesetengah plaza tol, masih terdapat kakitangan yang ditempatkan di dalam pondok tol. Tetapi, mereka sebenarnya bukanlah ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol tetapi untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah teknikal lain. Perkara ini kadang-kala menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna yang mungkin berpendapat mereka boleh menggunakan lorong terbabit untuk membuat urusan tambah nilai.
Hari ini terdapat lebih 11,000 lokasi tambah nilai tersedia untuk pengguna daripada mesin tambah nilai dan stesen minyak sehinggalah kedai serbaneka dan farmasi, jadi isu kesukaran melakukan tambah nilai kad Touch ‘n Go rasanya tidak lagi timbul.
Sumber: HMOnline