Siapa kata barang-barang lama atau antik tiada nilai di pasaran? Jangan tersilap ya, sesungguhnya barang-barang lama ini mempunyai nilai yang tinggi berbanding barang-barang baru, lebih-lebih lagi kepada peminat dan pengumpul barang-barang lama atau antik itu.
Begitu juga dengan motorsikal-motorsikal lama, klasik, atau kini lebih popular dipanggil sebagai motorsikal retro. Ada peminat yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan model motorsikal idaman mereka dan, membaikpulih sehingga kembali seperti ke bentuk asal.
Peminat ini bukan sahaja daripada kalangan ‘orang-orang lama’, tapi anak-anak muda belia generasi baru juga tidak ketinggalan untuk sama-sama berkongsi minat yang mendalam kepada motorsikal retro. Dek kerana mempunyai peminat yang pelbagai dari segenap tempat dan usia, komuniti motorsikal retro ini cukup ramai di seluruh negara.
Anda rasa mudah untuk membaikpulih motorsikal retro yang ada kepada bentuk asal seperti mana ianya dikeluarkan berpuluh-puluh tahun dahulu? Jawapannya tidak, kerana alat gantinya tidak lagi dikeluarkan dan dipasarkan. Ada diantara peminat dan pengumpul terpaksa menghabiskan wang ringgit dan berjalan merata ceruk kampung semata-mata demi alat ganti motorsikal retro kesayangan mereka.
Tapi bak kata orang, walau apa pun yang terjadi, demi cinta, lautan api pun sanggup direnangi. Begitu juga kepada peminat motorsikal retro itu. Walau apa pun terjadi, demi minat dan nilai estetika yang ada, mereka akan lakukan apa sahaja demi motorsikal retro kesayangan mereka.
Terkini, Konvoi Jelajah Semenanjung Malaysia Retromania Grand Gathering 2019 anjuran Majlis Daerah Kuala Langat telah memulakan perjalanan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri di semenanjung bagi mempromosikan Retromania Grand Gathering 2019 (RGG2019) pada 13 dan 14 April 2019.
Sepanjang 5 hari bermula 25 hingga 29 Mac ini, konvoi sebanyak 30 motorsikal berkuasa tinggi akan menjelajah ke ke negeri-negeri antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Perak dan apa yang menarik mengenai RGG2019 kali ini adalah tema Gila-Gila Zaman Remaja yang mengimbau kembali nostalgia filem Gila-Gila Remaja.
Terdahulu, RGG pernah mencipta Malaysia Book of Record kerana berjaya menghimpunkan motorsikal retro terbanyak dan, pada edisi kali ini, rekod baru akan tercipta, mencatatkan lagi satu memori kepada seluruh peminat motorsikal retro seluruh negara.
Jadi kepada peminat motorsikal retro di luar sana, jemput hadir beramai-ramai ke Dataran Pantai Morib Kuala Langat pada 13 dan 14 April ini bagi memeriahkan acara RGG2019 di sana!