Rentas Negeri Bermula.. Tolong Sangat Jangan Ambil Kesempatan Ya!

Share

Hasrat rakyat Malaysia untuk rentas negeri akhirnya termakbul selepas kerajaan membenarkan aktiviti ini dilakukan berkuatkuasa bermula 10 Jun 2020.

Oleh itu, rakyat yang mahu melakukan aktiviti pulang ke kampung, menziarahi ibu bapa serta keluarga di kampung halaman boleh berbuat demikian. Begitu juga buat individu yang ingin bercuti di dalam negara, mereka dibenarkan merentas negeri. Aktiviti pelancongan dijangka akan kembali rancak dan orang ramai akan mula membawa keluarga keluar bercuti dalam negara. Cuma aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan di kawasan yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Walau bagaimanapun anda dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama semua rakyat ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.

Jangan cuba mengambil kesempatan atas kebebasan yang diberikan susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerana wabak pandemik ini masih ada disekeliling kita selagi virus untuk melawannya belum ditemui.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengingatkan orang ramai terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada di kampung halaman.

“Saya percaya ramai akan balik kampung dan saya harap walau ada kebenaran rentas negeri, tetapi kawalan kendiri mesti dikekalkan. Dulu kita keluarkan SOP bahawa sambutan raya tidak boleh lebih 20 orang untuk satu rumah. Kita perkenalkan SOP itu untuk keselamatan diri,dan keluarga. Kita juga beri ingatan kepada mereka lebih 60 tahun dan anak kurang dari 12 tahun yang berisiko tinggi. Kita juga perlu hati-hati sebab kemungkinan ketibaan kita bersama mereka akan sebabkan berlaku jangkitan COVID-19.”

“Jadi walaupun kita kata bebas, jangan ambil kesempatan kebebasan itu hingga sebabkan jangkitan pada orang lain. Kawalan kendiri, disiplin, penjagaan kebersihan diri, penjarakan sosial perlu diteruskan walau ada kebebasan ini. Selepas ini saya percaya aktiviti pelancongan juga akan bermula dalam negara. Kita jangka akan menjadi semakin rancak, dan saya tengok dalam media tak sampai satu jam, 1,000 tempahan telah dibuat di hotel,” katanya dalam satu sidang media.

Sumber: astroawani

Oleh
Husna