Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani.
Suku kaum Bajau terbahagi kepada Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.
Setiap bulan April, sepanjang jalan menuju ke pekan Semporna akan dihiasi dengan hiasan pemidang layar berwarna-warni di kiri dan kanan bahu jalan. Bukan itu sahaja, malah rumah pensendirian, sekolah dan premis perniagaan turut sama mengibarkan kain layar berwarna-warni. Ia adalah simbolik kedatangan perayaan atau sambutan Regatta Lepa yang bakal disambut dengan acara gilang gemilang untuk beberapa hari.
Ini adalah lawatan kedua penulis sempena Sambutan Regatta Lepa Semporna, kali pertama sekitar tahun 2013 dan tahun ini sekali lagi diberi peluang untuk melihat dan turut serta merayakan pesta yang begitu meriah ini. Jika anda sedang atau membuat keputusan untuk datang ke daerah Tawau, Semporna atau masuk ke pulau-pulau sekitar sipadan, ambil peluang untuk datang ketika pesta ini berlangsung. Pasti menjadi kenangan paling berharga.
Uniknya pada tahun 2019, sambutan Regatta Lepa Semporna telah pun masuk ke tahun Jubli Perak dan dihadiri ramai tetamu kehormat antaranya Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar B. Datuk Haji Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie B. Haji Apdal.
Regatta Lepa umpama sebuah perayaan tahunan untuk masyarakat Bajau dan merupakan sambutan pesta air tahunan dalam kalendar ‘Pesta Air Malaysia’ yang diadakan di daerah Semporna, Sabah, sejak tahun 1994.
Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini.
Selain itu, saban tahun terdapat beberapa persembahan menarik dan mendebarkan iaitu misi menyelamat yang dilakukan oleh anggota keselamatan negara dari Pasukan Bomba serta anggota ESSCOM.
Acara kemuncak membuka tirainya dengan kedatangan pelbagai Lepa (perahu) dari seluruh pelusuk kampung yang terdapat di Daerah Semporna yang dipimpin oleh Ketua Kampung masing-masing. Pengujung yang datang menyaksikan sambutan ini dapat melihat perarakan lepa berhias serta tarian tradisi masyarakat Bajau Semporna yang diringi dengan muzik etnik tempatan di atas lepa.
Pada sebelah malamnya pula, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil dihiburkan dengan nyanyian artis terkenal tempatan iaitu Dato Sri Siti Nurhaliza. Disepanjang jalan juga meriah dengan kehadiran peniaga dan penjaja jalanan yang menjual pelbagai makanan. Rata-rata pengujung yang datang boleh dilihat sangat teruja dengan perayaan besar saban tahun ini. Pertunjukan bunga-api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut dengan begitu meriah.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai suku kaum Bajau, anda dicadangkan untuk berkunjung ke Muzium Galeri Tun Sakaran. Muzium dua tingkat berkonsepkan rumah tradisional masyarakat Bajau Semporna ini menempatkan sudut pameran koleksi dan biografi mantan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai. Selain itu, di sini juga turut mempamirkan khazanah warisan daerah pantai timur Sabah khususnya di Semporna.
Jom cuti-cuti Malaysia!