Anda yang nak pergi ke luar negara lagi-lagi ke negara sejuk tu saya sarankan untuk cuba dan rasa dulu macam mana perasaan berada dalam kesejukan -6 darjah celsius di Snow World Genting.
Suhu -6 darjah celsius tau! Bukan 16 darjah celsius macam suhu penghawa dingin yang ada di rumah. Kalau anda rasa boleh terima dengan tekanan suhu di bawah takat beku di Snow World Genting, anda saya boleh kata lulus untuk pindah terus duduk di negara bermusim sejuk. Hehehe.
Baru-baru ni saya berkesempatan untuk datang dan menyertai cabaran yang dianjurkan oleh pihak Snow World Genting – siapa yang paling dapat bertahan paling lama dalam ‘peti sejuk’ -6 darjah celsius tu.
Fuh! bukan biasa-biasa untuk anda kekalkan mental dan fizikal di tahap terbaik untuk bertahan di suhu sesejuk itu. Saya sendiri hanya mampu bertahan selama 3 jam 20 minit sahaja! (lama juga sebenarnya tu, hehehe)
Yela, itu pun sebab saya ni orang muda. Makcik-pakcik mana yang ada ikut serta dalam pertandingan tu belum 30 minit pun dah ada yang mengalah. Biasalah, mungkin faktor usia membataskan mereka untuk berada lama di dalam Snow World Genting.
Pengalaman saya semasa berada di sana untuk cabaran tersebut ingin saya kongsikan kepada semua pembaca Libur agar semua dapat mengambil sedikit info di sini sekiranya anda ingin ke sana kelak.
Snow World Genting ini adalah taman permainan bertemakan musim sejuk yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 22,800 kaki persegi. Dulu ianya pernah tutup untuk satu tempoh kerana pengubahsuaian dan selepas projek itu selesai, tempat ini kembali di buka kepada pengunjung dan boleh memuatkan seramai 250 pengunjung dalam satu-satu masa.
Ada banyak aktiviti yang boleh anda lakukan di sana. Kalau anda bawa kanak-kanak, tak usah cerita la. Daya kreativiti diorang mungkin akan membuatkan anda semput berkejar ke sana ke mari untuk memantau pergerakan mereka.
Antara aktiviti yang paling menarik untuk anda lakukan bersama si cilik adalah sliding menggunakan pelampung dari tingkat atas. Snow World ini mempunyai beberapa lapis tingkat dan sliding yang saya katakan ini akan dilepaskan di tingkat yang atas ke bawah. Cukup mengujakan untuk kanak-kanak!
Ada mural yang diletakkan di sekeliling ruangan dalam Snow World Genting ini untuk memberikan anda satu perasaan dan berasa seperti berada di luar negara. Mural ini juga termasuk dengan banyak hiasan dalaman yang lain dan peluang untuk ke sini jangan dilepas tanpa sekeping gambar kenang-kenangan bersama rakan-rakan anda.
Kalau anda nak ke sini satu hari nanti, tempat ini dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 11.30 malam dan saya cadangkan kepada anda untuk memakai seluar yang tebal dan bawa sepasang stokin lebih untuk dipakai.
Sekalipun baju sejuk, sarung tangan, sarung kepala dan kasut ada dibekalkan kepada setiap pengunjung yang datang, percayalah cakap saya, kesejukan yang ada masih tembus dan boleh membuatkan anda menggigil!