Menara Jam yang berdiri gah di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir merupakan mercu tanda dan lokasi pelancongan utama di Melaka.
Menara Jam yang berdenting setiap jam itu merupakan antara kawasan zon teras yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Melaka sebagai satu daripada negeri yang terpilih bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020).
Pada tahun ini, Menara Jam tersebut telah pun berusia 134 tahun. Ia menjadi rujukan masa di lokasi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkumpul di sekitar Menara Jam bagi merakam gambar kenang-kenangan
Fakta Menara Jam Melaka
**media[138628]**
- Menara Jam ini berketinggian 50 kaki dibina pada 1886.
- Menara Jam Melaka atau lebih dikenali sebagai Menara Jam Tan Beng Swee dibina kira-kira 61 tahun selepas penyerahan wilayah Melaka dari Belanda kepada British.
- Usia Menara Jam jauh lebih muda daripada bangunan pentadbiran penjajah Belanda, Stadthuys yang dibina pada 1650.
- Jamnya tidak pernah dibiarkan berhenti kerana sejak bertahun-tahun ia dijaga dengan rapi termasuk mencuci, menservis dan menguji setiap komponen bagi memastikan ia terus menjadi rujukan masa untuk 134 tahun lagi atau lebih lama.
- Menara Jam ini menjadi lambang kasih sayang antara keluarga kerana ia dibina oleh seorang anak yang mahu memenuhi permintaan bapanya. Menurut sejarah, Menara Jam itu dibina oleh Tan Jiak Kim seorang dermawan Cina Peranakan yang mahu menunaikan hajat mendiang bapanya Tan Beng Swee yang mengimpikan sebuah Menara Jam di tengah bandar Melaka ketika hayatnya masih ada. Selepas pemergian Tan Beng Swee, terbinalah Menara Jam di bangunan Stadthuys berhampiran Queen Victoria's Fountain, Muzium Budaya Cheng Ho dan Christ Church.
- Setiap empat muka jam berdiameter 34.5 sentimeter (cm), berangka roman dan jam berkenaan diimport khas dari England.
- Kemudian pada 1982, keempat-empat jam itu diganti dengan jenama Seiko dari Jepun, sehingga mencetuskan kemarahan kebanyakan penduduk warga emas di sekitar Melaka dek kerana terkenangkan keperitan mereka hidup pada zaman penjajahan Jepun.
- Menara Jam yang turut terkenal dengan nama Jam Besar Bangunan Merah Bandar Hilir ini menggunakan voltan 24 volt itu turut dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) berperanan untuk mendapatkan waktu masa yang tepat.
- Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, jam ini dipasang sistem bunyi burung pemangsa yang beroperasi setiap 45 saat, kemudian berhenti selama seminit bertujuan menghalang burung liar seperti gagak dan merpati hinggap serta membuang najis di sekitar Menara Jam itu.
- Servis pada Menara Jam ini dilakukan pada sebelah malam bermula sekitar 9 malam dan tempoh siapnya adalah bergantung kepada kerosakan yang berlaku pada Menara Jam itu.
Sumber: Bernama