Bukit Broga yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Negeri Sembilan, adalah lokasi tumpuan para pendaki selain menjadi kawasan riadah keluarga terutama pada hujung minggu.
Pemandangan di atas puncaknya sangat mengujakan terutama sewaktu matahari terbit menyebabkan ada pendaki sanggup memulakan pendakian seawal 4 pagi dan lokasi ini tidak putus-putus menerima tetamu hingga ke senja.
Baru-baru ini tular di media sosial foto orang ramai di Bukit Broga susulan kebenaran oleh kerajaan yang membenarkan semula aktiviti riadah itu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Susulan penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga bermula 27 Jun 2020 ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, perintah penutupan itu adalah di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Justeru, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu. KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI