Masih terdapat lagi bot-bot rekreasi yang berdegil, dengan melakukan aktiviti memancing di sekitar perairan Selat Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan komuniti laut seharusnya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumum oleh kerajaan sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19. Mana-mana perkhidmatan bot kurang penting (non-essential services boat) yang keluar ke laut, boleh diambil tindakan kerana melanggar PKP.
Hanya komuniti nelayan yang berlesen sahaja dibenarkan untuk ke laut manakala yang selebihnya seperti kegiatan menjala ikan dan mengutip kupang secara berkumpulan ketika air laut sedang surut, tidak dibenarkan.
Masih dapat dilihat kegiatan sedemikian (memancing, menjala dan mengutip kupang) berlaku di sekitar pesisir pantai perairan Pantai Morib, Pantai Sepang dan Port Dickson di Negeri Sembilan. Mereka keluar beramai-ramai termasuk membawa anak kecil sekali pergi mengutip kupang di pesisiran pantai. Pihak APMM terpaksa menggunakan pembesar suara dengan memberi peringatan dan menyuruh mereka pulang ke rumah.
Sumber: Bernama