Kesan koronavirus (COVID-19) menyebabkan industri pelancongan tanah air berhadapan kerugian yang sangat besar. Selain sektor penerbangan, sektor perhotelan juga menerima impak yang teruk dan sangat nazak ketika ini.
Sejak Januari 2020 lalu, industri perhotelan menerima pembatalan tempahan bilik secara mendadak dan sehingga kini telah mencecah angka 193,000 bilik dengan nilai kerugian lebih RM75 juta.
Dalam tempoh kawalan pergerakan selama 14 hari ini, hampir kesemua hotel tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Menurut sumber Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata tempoh ini sahaja industri perhotelan menganggarkan kerugian pendapatan industri hotel lebih daripada RM500 juta.
Buat masa ini, objektif utama pengusaha hotel adalah untuk meneruskan operasi dalam keadaan kerugian yang paling rendah dengan kos upah dan gaji adalah antara yang paling besar.
Berdasarkan sumber Persatuan Hotel Malaysia, setakat 20 Mac lalu, seramai 2,041 pekerja sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan manakala anggaran kerugian pendapatan industri hotel berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berjumlah RM560,720,981.
Industri perhotelan di Kuala Lumpur paling terkesan dengan kerugian bernilai RM24 juta diikuti Sabah RM11 juta dan Selangor RM9 juta.
Persatuan Hotel Malaysia ketika ini mewakili industri dalam rundingan diskaun dengan pembekal-pembekal servis kepada ahli-ahlinya untuk mengurangkan kos operasi hotel. Mereka juga berharap kerajaan akan memperkenalkan lebih bantuan kewangan kepada industri dengan beban dan kekangan aliran tunai yang serius.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI